Isnin, 19 Oktober 2026

RUMAH GAJAH DALAM HUTAN BUKAN ATA S SIMIN DALAM ZOO


RUMAH GAJAH

DALAM HUTAN 

BUKAN ATAS

SIMIN DALAM

ZOO

AMIN

SELAMATKAN

HAIWAN

 HAPUSKAN ZOO

KHALAS 


Dara, Amoi, Kelat tunjuk tanda tekanan emosi serius, pakar gesa tiga gajah Malaysia dipulangkan segera

KUALA LUMPUR: Nasib tiga gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun, terus menimbulkan kebimbangan apabila haiwan itu didakwa menunjukkan tanda tekanan emosi serius, sekali gus mencetuskan gesaan supaya dibawa pulang segera ke tanah air.

Lebih membimbangkan, Kelat, gajah jantan dalam kumpulan itu, dilaporkan mengalami episod musth atau fasa peningkatan hormon pembiakan sebanyak enam hingga tujuh kali dalam tempoh tujuh bulan sejak tiba di zoo berkenaan pada Mac lalu.

Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai tahap kebajikan dan kualiti hidup ketiga-tiga haiwan berkenaan yang sepatutnya mendapat penjagaan bersesuaian dengan keperluan semula jadi mereka.

Gesaan membawa pulang DAK turut disokong pakar gajah terkenal dunia dari Universiti Oxford, United Kingdom, Dr William Keith Lindsay.

Pakar itu dilaporkan menyediakan tiga laporan komprehensif bagi menggesa tiga gajah terbabit dibawa pulang segera ke Malaysia.

Aktivis Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia, Dr Siti Rabiah Raws, berkata ketiga-tiga gajah itu dikesan menunjukkan tingkah laku stereotaip secara berulang, termasuk menggeleng atau menghayunkan kepala secara berlebihan.

Beliau berkata, perbuatan berulang seperti itu boleh menjadi petunjuk tekanan dan memerlukan penilaian profesional bagi menentukan keadaan sebenar kebajikan serta kesihatan psikologi haiwan berkenaan.

"Tingkah laku ini adalah petanda jelas berlakunya tekanan perasaan yang amat berat dan berkemungkinan mengalami gangguan mental zoochosis.

"Keadaan ini menimbulkan kebimbangan serius terhadap kesejahteraan psikologi mereka dan memerlukan penilaian profesional," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, keadaan Kelat turut memerlukan perhatian khusus susulan laporan kekerapan episod musth yang disifatkan pakar berkenaan sebagai tidak lazim.

Dr Siti Rabiah berkata, Dr Lindsay menjelaskan gajah jantan lazimnya mengalami musth sekali atau dua kali setahun, justeru kekerapan episod yang dilaporkan membabitkan Kelat menimbulkan persoalan yang perlu diteliti secara saintifik.

"Keadaan ini, ditambah pula dengan pemisahan Kelat daripada Dara dan Amoi untuk tempoh panjang, membangkitkan persoalan serius mengenai kebajikan haiwan itu serta kesesuaian kemudahan penempatannya.

"Kami percaya Kelat perlu menjalani penilaian veterinar bebas dan dipantau secara rapi bagi memastikan kebajikannya tidak terjejas," katanya.

Bagi mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai keadaan DAK, beliau berkata, pihaknya mengambil inisiatif menghantar dua kakitangan ke Zoo Tennoji sejak April lalu untuk merakam serta merekodkan tingkah laku ketiga-tiga gajah itu setiap hari.

Beliau berkata, rekod berkenaan menjadi antara usaha memantau perkembangan haiwan itu ketika gesaan supaya mereka dibawa pulang ke Malaysia terus disuarakan.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Tuan Mohamed Akmal Dahalan, ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkembangan terkini DAK pada masa sesuai.

"Saya tidak boleh respon secara personal. Nanti bila tiba masanya, saya akan keluar kenyataan rasmi untuk laporkan perkembangan DAK," katanya.

Pada Ogos lalu, MPT menerusi kenyataan, memaklumkan Kelat, Dara dan Amoi berada dalam keadaan sihat serta aktif, selain dipantau secara berkala oleh penjaga haiwan dan pegawai veterinar Zoo Tennoji.

Tiada ulasan: