Jumaat, 4 Januari 2013

NAJIB TIPU HAPUSKAN ISA - RAMAI MASIH DIPENJARA TANPA BICARA



 GERAKAN MANSUHKAN ISA
KENYATAAN MEDIA : 3 JANUARI 2013
SOLIDARITI BERSAMA HIMPUNAN 12 JANUARI, SEMUA TAHANAN ISA PERLU DIBEBASKAN SEGERA

Hari ini merupakan hari yang ke setahun, empat bulan dan 19 hari daripada tarikh pengumuman pemansuhan ISA yang dibuat oleh Perdana Menteri pada sambutan hari Malaysia tahun 2011. Cukup nyata bahawa pengumuman itu sekadar pengumuman kosong apabila sehingga ke hari ini, masih ada tahanan ISA yang dikurung di Kem Tahanan Kamunting. Tidak cukup dengan itu, pengumuman itu juga diikuti dengan penggubalan satu undang-undang yang mirip kepada ISA walaupun tidak serupa. Undang-undang ini turut menghalalkan penahanan tanpa bicara dan penangkapan sesuka hati oleh pihak polis.

Akibat penipuan Kerajaan ini, 23 orang masih menjadi mangsa akta zalim ISA. 


Mereka yang masih ditahan adalah sembilan orang warganegara Malaysia, seorang warga Pakistan, lima warga Sri Lanka, seorang warga India, seorang warga Iraq, dua orang warga Indonesia, seorang warga Bangladesh, dan tiga orang warga Filipina. Sekiranya merujuk kepada perintah tahanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri, tahanan terakhir hanya akan dibebaskan pada bulan Januari 2014 iaitu dua tahun empat bulan selepas ISA diumumkan termansuh. 

Sepanjang tahun 2012, GMI konsisten mendesak pihak Kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri untuk membebaskan kesemua tahanan ISA. Semasa pengumuman pemansuhan dibuat, seramai 45 orang masih ditahan di Kem Tahanan Kamunting dan ramai pihak menyangkakan pemansuhan tersebut akan diikuti pembebasan kesemua tahanan ISA. Amat mengecewakan apabila Kerajaan enggan membebaskan tahanan atas alasan pembebasan perlu dibuat berdasarkan perintah tahanan.


Namun, hasil daripada desakan demi desakan daripada rakyat, 25 orang telah dibebaskan dalam masa setahun tiga bulan. Pembebasan terbaru yang dibuat ialah pada 21 Disember 2012 yang membabitkan dua orang tahanan iaitu Nyelang Anak Mesidi daripada Sarawak dan Hemachandran A/L Thiyagarajah tahanan warga Negara Sri Lanka. GMI percaya kesemua pembebasan ini dibuat hasil daripada desakan daripada rakyat kerana kesemua tahanan dibebaskan lebih awal daripada tempoh perintah tahanan.

GMI telah mengambil inisiatif untuk turun bertemu rakyat terbanyak dengan turut serta secara aktif dalam jelajah Himpunan Kebangkitan Rakyat di Johor, Penang dan Perak. Ruang yang disediakan semasa himpunan itu telah GMI gunakan sebaik mungkin bagi mendedahkan rakyat mengenai cerita sebenar disebalik pemansuhan ISA. Di setiap lokasi himpunan, GMI telah mengedarkan risalah mengenai kempen Bebaskan Tahanan ISA kepada masyarakat umum selain berkesempatan memberi ucapan penerangan di pentas yang disediakan untuk aktivis NGO.  Melalui desakan yang konsisten daripada  rakyat, GMI percaya kerajaan akan terpaksa akur untuk membebaskan kesemua tahanan ISA.


Bagi meneruskan momentum desakan rakyat ini, GMI menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk turut sama menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari ini. GMI juga menyatakan solidariti penuh bersama himpunan ini memandangkan salah satu tuntutan yang diketengahkan ialah menuntut kerajaan membebaskan kesemua tahanan ISA. Sehingga dimansuhkan, ISA pernah memanjarakan lebih 10 ribu mangsa yang tidak pernah dibuktikan bersalah dimahkamah. Bahkan pada Oktober 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa penahanan 5 orang aktivis rakyat di bawah ISA pada tahun 2001 adalah salah dan mahkamah memerintahkan agar kerajaan membayar pampasan kepada kelima-lima aktivis tersebut.  Oleh itu GMI menyeru semua bekas mangsa ISA, keluarga mangsa, dan seluruh rakyat Malaysia untuk turun dan menyuarakan tuntutan agar Kerajaan segera membebaskan kesemua tahanan ISA pada Himpunan 12 Januari nanti.

Syukri Razab
Sekretariat
Gerakan Mansuhkan ISA
Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram)




--------

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Najib tak nak tutup sebab selepas ini dia nak tinggal di situ.Kah..kah..kah.

DIDI KOTA BELUD yang sebenar berkata...

betul tu......kesian dia...bagilah dia rasa dulu kok iye nak ubah pun..pelizzzlah bagi dia rasa...aku rayu ni........pelizzzzz