Selasa, 6 Januari 2015

ROSMAH GUNAKAN KAPAL TERBANG KERAJAAN







JET RASMI KERAJAAN 9M-NAA TELAH GUNA RM500 RIBU BAHAN API, TAPI RAKYAT KENA BAYAR?

Jet Rasmi Kerajaan Malaysia 9M-NAA yang diterbangkan merantau dunia dengan membawa penumpang misteri akhirnya "pulang" ke tanah air Malaysia pada 4hb Januari 2015.

Namun sehingga hari ini, persoalan berkenaan siapakah VIP misteri yang dibenarkan menggunakan Jet Rasmi 9M-NAA masih tidak terjawab.

Satu analisa telah dijalankan oleh Biro Penerangan Angkatan Muda KEADILAN berkenaan dengan penerbangan jet 9M-NAA dan hasil pengiraan mendapati bahawa penerbangan jet jenis Airbus 319 dengan menggunakan laluan Honolulu – Los Angeles – Indianapolis – Los Angeles – New York – Dubai – Bangkok – Kuala Lumpur dianggarkan telah menggunakan 64,232.36 Gallon [US] minyak jet.

Dengan harga minyak jet antarabangsa RM7.68 per gallon, penumpang misteri di atas jet 9M-NAA telah menggunakan minyak jet yang bernilai RM494,404! Kos ini masih belum mengambil kira kos pengupahan juruterbang, kos pendaratan kapal terbang, kos parkir pesawat, kos penyimpanan pesawat (hangar fee), kos tanjakan pesawat (ramp service), kos penyelenggaran jet dan lain-lain.

Di samping mempersoalkan siapakah yang membayar bil penggunaan jet ini, KEADILAN menegaskan bahawa adalah lebih bermakna jika perbelanjaan wang berjumlah setengah juta ini digunakan untuk membantu mangsa banjir.

Dengan anggaran harga pemborong beras RM2 sekilo, RM494,404 boleh digunakan untuk membeli 247 tan (247,202kg) beras untuk diagihkan kepada para mangsa banjir. Jika digunakan untuk membeli sardin (harga RM2.50 setin), RM494,404 boleh menampung 197,761 tin sardin untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Selain itu, saya juga membidas laman Facebook “Friends of BN” yang seolah-olah menjadi jurucakap Jabatan Perdana Menteri dengan memberi penjelasan berkenaan penerbangan Jet Rasmi 9M-NAA ini. Penjelasan laman tersebut bahawa jet tersebut menghadapi isu teknikal dan terpaksa singgah di Amerika adalah tidak logik dan penjelasan melalui Facebook tanpa sebarang pengesahan JPM seolah-olah sedang memperlekehkan pegawai-pegawai JPM.

Akhir sekali, lawatan Perdana Menteri ke Bangkok semasa jet 9M-NAA mendarat di Bangkok sekali lagi menjadi misi misteri yang menimbulkan keraguan orang ramai. Seandainya perkara ini masih tidak mendapat sebarang penjelasan, saya sendiri akan hadir ke Jabatan Perdana Menteri untuk mendapatkan jawapan, dan saya ingin menjemput “Friends of BN” untuk datang bersama dalam lawatan tersebut.

Lee Chean Chung
ADUN Semambu
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat




-------------

Tiada ulasan: