.

Rabu, 4 Julai 2018

LIMA HARI MENUJU 9 MEI




   MERAKAM SEJARAH  

5 HARI MENUJU 9 MEI


Saya masih ingat lagi pada petang Ahad 25 Febuari 2018 Ceramah Jelajah  Pakatan Harapan membuka tirai di Alor Gajah Melaka. Saya masih ingat lagi sambutan malam itu ‘hanya boleh tahan’. Mungkin 2 ribu mungkin 3 ribu yang datang atau mungkin kurang.  Dalam hal kira mengira ini saya kurang arif.

Saya masih ingat lagi dua bulan kemudaan pada malam 4 Mei   ceramah Jelajan membuat ‘grande finale’ di Bukit Katil Melaka. Di negeri bersejarah Melaka  Jelajah bermula maka di Melaka Jelajah berakhir.

Saya masih ingat lagi pada malam itu yang datang telah melaut. Berpusu- pusu - berasak asak. Warga Melaka semua mahu tercatit dalam sejarah bahawa mereka ada bersama Mahathir untuk menjatuhkan Najib dan United Malays National Organisation.

Yang buta datang berpimpin
Yang pekak datang bertanya
Yang muda datang bermotor
Yang cun datang  berbalak
Yang kaya datang bermercedes
Yang taikun datang berbody guard
Yang muda bujang janda dan sida
Semua ada semua bersedia

Saya cukup yakin PRU14 telah dimenangi oleh Pakatan. Sabenarnya keyakinan saya ini telah lama wujud. Tapi kali ini  - dari apa yang saya saksikan di Melaka - saya lempahkan fakta dan sebab musabab keyakinan saya ini kepada Pak Cik dan Mak Cik , kepada Abang dan Kakak yang kurang arif membaca tanda dan makna politik.

Saya tidak memiliki kepayahan untuk memahami politik kita - politik Dunia Ketiga.  Politik Malaysia amat senang untuk dihadam. Amin.

Dari pentas tetiba saya terdengar bunyi gendang yang dipalu oleh  Tim India yang diatur khusus  memukul tabuh dan gendang untuk memeriahkan suasana. Muncul Rafidah Aziz dengan baju merahnya. Dia  terus naik ke pentas. Sorakan gempita kedengaran. Sabenarnya saya telah diberitahu  awal ‘rahsia’ Rafidah akan bersama di Melaka. Rafidah telah belot.

Tetiba gendang dipalu lagi. Orang ramai tertanya-tanya siapa lagi yang akan datang. Dari atas pentas saya ternampak  sosok berseluar  hitam, bercapal dan  berbaju puteh. Perhati punya perhati rupa-rupanya Tun Daim juga telah belot.

Wahai Pak Cik dan Mak Cik Bani Melayu:

Bila Tun Daim belot ini adalah adalah tanda yang paling soheh lagi afdal  bahawa Najib dan United Malaysa National Organisation akan bungkus.

‘ Isham… Daim ini orang niaga… bila dia nampak peluang.. dia mecelah masuk..’ Ini kata-kata kawan saya yang tak bagitu arif politik. Saya  datang bersama dia  dari Kuala Lumpir. Sah. Ini pandangan tepat lagi saintifik.

Jangan lupa pada PRU12 Daim lebih awal telah meramalkan yang Barisan  Nasional akan hilang lima negeri. Wow! Hebat  orang kaya ini. 

Apabila Tun Daim naik ke pentas maknanya Najib  wajib turun dari tahtha.

Malam ini untuk pertama kali saya bersalaman  dengan Daim. Kami tak banyak cakap. Ketika tangan masih dipegang Daim berkata,’ …we have to do something.. kita wajib lakukan sesuatu….’

Saya tahu apa yang dimaksudkan oleh Daim dengan perkatan ‘lakukan sesuatu’.  Daim pasti tahu saya datang dari mazhab politik jalan raya. Justeru saya amat gumbira kerana sosok yang ini pun telah faham dan sedar bahawa garis jalan raya akan memainkan  peranan yang amat penting untuk mencapai kejayaan.

‘ Yes.. Tun we will work for it…’ Kami sesama faham apa yang terucap dan apa yang tersimpan. Amin.

Dalam semua sejarah peperangan pembelotan memainkan peranan penting. Sila baca Sejarah Melayu dan rujuk kembali babak pembelotan    Sang Rajuna  Tapa.  Si Pembelot ini telah membuka pintu  Kota Singapura untuk membolehkan  Betara Majapahit  membolos masuk membawa laskar dan pahlawan Jawa untuk menumpaskan Raja Iskandar Shah.

Seratus tahun dari hari ini pasti ada pelajar sejarah yang ingin mengkaji kembali sebab musabab yang membawa keruntuhan United Malays National Organsiation. Maka saya yakin pembelotan  wajib menjadi naratif tulang belakang.

Dari zaman Onn Jaafar, Harun Idris, Tengku Razaleigh, Anwar Ibrahim dan termasuk Mahathir Muhamad - semua ini adalah watak-watak pembelot. Ada yang memiliki dendam kesumat. Ada yang tidak puas hati. Ada yang gagal kecewa. Sebab musab bukan persoalan. Apa yang penting sosok-sosok ini telah belot dan bersekongkol dengan musuh politik untuk menjatuhkan parti lama mereka.

Daim dan Rafidah hanya permulaan. Yakinlah ribuan lagi akan belot terutama apabila United Malays National Organisation telah hilang kuasa. Gula yang dah jadi garam tidak akan menjemput semut mau pun lalat.

Di Bukit Katil malam itu umum melihat Rafidah Aziz membogelkan parti lamanya. Dengan menggunakan dua biji alat  pembesar suara Si Rafidah melakar sejarah pincang pentabiran Najib. Warga Melaka gegak gempita menyambut Rafidah.

Hebat. Rakyat Melaka berasak-asak ingin mendengar buah butir ceramah. Pentas dan sistem suara bukan  yang terbaik pada malam itu. Saya yakin ramai yang hanya dapat melihat dan tidak mendegar buah butir ceramah. Tetapi semangat nak menerajang Najib cukup kuat. Semangat warga Melaka hadir untuk membuat sejarah cukup kuat.

Bila Mahathir berucap dia terpaksa berpusing-pusing kerana pentas telah menjadi pulau dalam  lautan manusia. 

Selesai ceramah saya diberitahu bahawa antara puluhan ribu yang hadir termasuk Tan Seri Lee Kim Yew - pemilik Hotel Palace of Golden Horses. Saya diberitahu  towkay kaya ini memasang telinga dari dalam kedai dengan dijaga oleh empat orang pengawal pribadi.  Ini satu lagi tanda saheh yang Najib akan lungkup.

Bila cukong beralih kiblat ini maknanya taufan akan sampai. Amin.

Dua hari kemudian Najib menuduh  gambar ceramah Jelajah di Melaka yang tular bukan gambar asli. Mengikut Najib gambar Jelajah Melaka ini dihasilkan oleh ‘teknoloji’. 

Hingga ke hari ini saya masih lagi mencari  siapkah yang memberi  nasehat ini kepada Najib. Saya bukan nak lempang penaseht ini.  Tidak. Tidak. Saya nak hadiahkan seikat petai kerana nasehat bodoh ini telah menaikkan semangat marah dan benci warga internet terhadap Najib.

Penasehat yang memberi nasehat ini telah menjadikan Najib  cukup Lokman Adam dimata netzen. Amin.

Balik ke Kuala Lumpur saya memberi laporan kepada war room PKR. Satu persoalan timbul. Persoalan yang menakutkan. Umum tahu PDRM telah membuat dua kali simulasi Pasca PRU14 dimana  ‘sosok Najib  atau sosok PM telah diselamatkan’ dari rusuhan.

Ini sabenarnya teater perang saraf dari PDRM. Bertujuan untuk membantu menakut nakutkan orang ramai agar jangan melakukan apa-apa walau pun telah ditipu dalam PRU14.

Pada hemat saya  perang saraf PDRM ini cuba menangkis hasutan saya. Tagline  dari Hotel Grand Dorsett  - Pakatan Menang PRU14 Kecuali Ditipu - kini telah menular. Intel dan  SB dari PDRM pasti telah juga membaca hasutan saya yang sedang menyediakan suasana untuk orang ramai turun ke jalan raya.

Tidak cukup dengan teater simulasi ini pada 9 April 2018 Ketua Polis Negara Fauzi Harun  telah membuat kenyataan  di Terengganu. Kenyataan ini juga  bertujuan untuk membantu Najib. PDRM telah mengeluarkan kenyataan tentang senarai 1,131 orang  yang telah dikenal  pasti  berpotensi membuat huru hara  sesudah pengundian berjalan. 

Nama-nama ini termasuk dalam apa yang dipanggil Projek SMLA - serangan mengejut disaat akhir. Saya yakin nama  ke 31 itu adalah nama saya.Tapi saya tidak ambil pot kerana saya telah berjanji pada diri saya sendiri yang saya akan melakukan apa sahaja untuk menetaskan  perubahan.

Kita semua akan mati. Persoalanya  - bagaimana kematian itu datang? Kalau tidak lakukan perubahan pada PRU14 - bila lagi?

Tapi dalam war room PKR berita senarai PDRM ini telah melahirkan kegusaran. Malah ada pandangan yang mengkaitkan  perang saraf PDRM in  selari dengan projek gelap MKN - Majlis Keselamatan Negara.

War room PRU13 PKR dan war room PKR PRU14  agak berbeza. Ketika PRU13 dahulu - saban hari akan muncul angka kemenangan. Ada sahaja maklumat yang diterima. Awalnya hanya 100 kerusi. Kemudian bertambah  menjadi 116 kerusi.  

Ada saje maklumat dari intel soldadu ( military inteligence) atau  maklumat SB. Saya hanya tersenyum. Kerana saya juga terdidik dari sekolah intel. Saya juga membaca kitab yang sama yang dibaca dan ditelaah oleh SB dan intel soldadu.

Cuba fikirkan secara rasional - kepala hangguk apa pula Ketua SB macai Najib bersuka hati datang memberi maklumat kepada war room PKR. Apa hutang pegawai risik tentera hingga mahu memberi maklumat kepada musuh.

Sebenarnya semua ini adalah perang saraf. Ini projek - misinformation -. Memberi maklmuat salah agar musuh melakukan tindakan salah. Akhirnya dalam PRU13 kerana salah baca maka tindakan salah  telah diambil. 

Justeru dalam PRU13 tidak ditimbulkan  konsep - JANGAN CONCEDE - jangan terima keputusan.  Hanya pada saat saat akhir saya dapat mengajukan - jangan concede - sebagai stratiji. Ini sudah terlambat. Malah malam bantahan di Padang Kelana Jaya stratiji jangan concede ini tidak diutarakan secara tuntas. Hanya sebagai pandangan sampingan.

Dalam war room PKR  kali ini tidak ada Mat Songel yang berlabun tentang berapa kerusi yang akan dimenangi oleh Pakatan.  Jangan concede - jangan terima keputusan PRU14 - kini menjadi stratiji induk. 

Justeru lima hari sebelum membuang undi bukan berapa kerusi yang akan dimenangi.  War room tidak lagi membincangkan   pengundian.  Kami  menapis maklumat - saheh atau palsu - terutama dari  Sabah dan Sarawak.  

Tiga hari sebelum membuang undi apa yang war room lakukan? Tunggu minggu hadapan.  (tt) 




NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45



-----------------------

Tiada ulasan: