"Serangan ke atas Iran, mungkin berlaku, mungkin tidak" - Trump
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, masih berteka-teki berhubung keputusan sama ada akan menyertai serangan Israel ke atas Iran.
Trump sebelum ini menggesa Iran menyerah kalah dan mendakwa Tehran mahu mengadakan rundingan di Rumah Putih, namun beliau menyatakan ia mungkin sudah terlambat.
Terdahulu, Trump mengadakan mesyuarat kedua dalam tempoh dua hari bersama pasukan keselamatan negara, ketika dunia tertanya-tanya sama ada beliau akan mengarahkan tindakan ketenteraan.
"Saya mungkin akan melakukannya, mungkin juga tidak. Maksud saya, tiada siapa tahu apa yang saya akan lakukan.
"Apa yang saya boleh beritahu adalah Iran sedang berdepan banyak masalah dan mereka mahu berunding," kata Trump kepada wartawan ketika majlis pelancaran salah satu daripada dua tiang bendera baharu di Rumah Putih.
Tambah beliau, minggu depan akan menjadi detik penting untuk menentukan nasib Iran, manakala Tehran menafikan sama sekali mahu berunding dengan mana-mana pihak, apatah lagi merayu kepada AS.
Trump mendakwa Iran kini sedang cuba untuk mencapai perjanjian berhubung program nuklearnya bagi menamatkan konflik dengan sekutu AS, Israel.
Iran pula menafikan dakwaan AS bahawa mereka menawarkan untuk menghantar pegawai ke Washington.
"Tiada pegawai Iran akan melutut di pintu Rumah Putih," menurut kenyataan misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dimuat naik di platform X.
Kenyataan itu dibuat selepas pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menolak tuntutan Trump supaya Iran menyerah tanpa syarat dan memberi amaran bahawa campur tangan AS akan membawa kerosakan yang tidak dapat dipulihkan.
Sehari selepas menyifatkan Khamenei sebagai sasaran mudah, Trump dalam satu wawancara di Pejabat Oval berkata, perubahan kepimpinan di Tehran boleh berlaku.
"Saya ada beberapa idea mengenai apa yang patut dilakukan, tapi saya belum buat keputusan muktamad.
"Saya suka buat keputusan pada saat akhir, kerana keadaan boleh berubah. Terutama apabila membabitkan peperangan", katanya.
Sebelum ini, Akhbar The Wall Street Journal melaporkan bahawa Trump memaklumkan kepada penasihatnya bahawa beliau sudah meluluskan pelan serangan ke atas Iran, namun menangguhkan tindakan itu untuk melihat sama ada Iran akan menyerahkan program nuklearnya.
"Semua pilihan masih terbuka," kata seorang pegawai Rumah Putih. - AFP


1 ulasan:
Manusia apabila ego tinggi, apabila berkuasa apabila duduk tangga atas lupa bumi dipijak lupa diri lupa asal usul lupa keturunan lupa dari tanah selut datang beras kah kah kah sudah sampai masa manusia menghancurkan diri sendiri, tak payah Alien, tak payah Terminator, tak payah binatang dinasour kah kah kah sendiri gali lubang masuk tanam sendiri kah kah kah
Catat Ulasan