Sabtu, 27 Disember 2025

LANGKAH BETUL LAWAN RASUAH



Panglima Tentera Darat diarah bercuti sementara siasatan - menteri

Kementerian Pertahanan (Mindef) mengarahkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Muhammad Hafizuddeain Jantan, bercuti berkuat kuasa serta-merta susulan siasatan pihak berkuasa terhadap dakwaan tertentu yang dilaporkan membabitkan dirinya.

Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu diambil bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“Dalam masa yang sama, bagi memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang telah dilaporkan melibatkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, beliau akan bercuti berkuat kuasa serta merta sehingga selesai siasatan,” katanya pada satu kenyataan.

Menurut Khaled, keputusan itu bersifat pentadbiran dan bertujuan memastikan proses siasatan berjalan lancar.

“Langkah pentadbiran ini diambil bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard sebelum ini mendakwa seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia disyaki terbabit dalam isu pengubahan wang haram.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki kemudian mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Semakan awal SPRM turut mendapati beberapa syarikat berulang kali memperoleh projek bernilai tinggi, sekali gus menimbulkan persoalan.

Pada Selasa lalu, pegawai SPRM dilaporkan hadir ke Kementerian Pertahanan dengan tumpuan siasatan terhadap projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.

Tiga diambil keterangan

Hasil siasatan SPRM menunjukkan antara 2023 hingga 2025, Tentera Darat melaksanakan 158 projek perolehan bernilai lebih RM500,000 manakala perolehan bernilai bawah RM500,000 melibatkan 4,521 projek.

Setakat 24 Dis lepas, SPRM telah merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung perolehan projek Tentera Darat.

Sementara itu, Khaled hari ini memaklumkan Panglima Tentera Laut, Laksamana Zulhelmy Ithnain akan memangku tugas sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), berkuat kuasa serta-merta.

Jelasnya pelantikan itu dibuat susulan persaraan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Mohd Nizam Jaffar yang mencapai umur persaraan wajib.

"Setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat, kepimpinan serta jasa beliau (Jeneral Mohd Nizam Jaffar) sepanjang menerajui ATM, serta mendoakan kelancaran urusan persaraannya," katanya lagi.

INI CARA

KERJA BETUL

UNTUK SIASAT

RASUAH

AMIN

Tiada ulasan: