LEPAS INI
BAJA JIKA ADA
JADI MAHAL
AMIN
HARGA
SAYURAN PASTI
NAIK LAGI
AMIN
JIKA ADA
TANAH LAPANG
MULA BERTANAM
AMIN
Harga sayur-sayuran di pasaran dikesan naik ketara
KUALA LUMPUR: Harga sayur-sayuran di pasaran dikesan naik ketara, dengan anggaran 80 hingga 90 peratus sayuran dari kawasan tanah tinggi mengalami kenaikan harga sehingga dua kali ganda.
Pengerusi Persatuan Pekebun Sayur Melayu Cameron Highlands, Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid, berkata beberapa sayuran asas mencatatkan kenaikan harga ketara pada peringkat ladang.
"Sekarang kubis mencecah RM1.50 sekilogram (kg) berbanding 60 sen sebelum ini, tomato melonjak daripada RM1 kepada RM3.50 sekilogram manakala cili mencatat daripada RM4 kepada RM5 sekilogram.
"Kenaikan ini disebabkan kos input seperti harga baja dan racun perosak dari luar negara.
"Sebelum ini baja fertigasi berharga RM7,000 hingga RM8,000 satu tan, sekarang meningkat RM25,000 hingga RM27,000 kerana nutrien baja diimport dan tiada pengeluaran dalam negara.
"Konflik Asia Barat memberi kesan kepada harga minyak global meningkatkan kos pengangkutan antarabangsa bagi membawa masuk barang input ini," katanya ketika dihubungi BH.
Beliau menjangkakan harga terus meningkat bagi tempoh dua minggu akan datang sebelum stabil atau menurun, bergantung kepada pasaran dan langkah kawalan import oleh kerajaan.
Syed Abd Rahman berkata, pengeluaran sayur di Cameron Highlands turut terjejas akibat faktor cuaca tidak menentu yang menyebabkan pengeluaran berkurangan di pasaran.
"Sekarang cuaca sudah mula baik. Sebagai petani, kami mengharapkan harga tidak turun terlalu rendah sehingga di bawah paras kos modal," katanya.
Beliau menghargai langkah kerajaan melaksanakan Keperluan Sijil Analisis (CoA) terhadap sayuran import bagi memastikan keadilan kepada pekebun tempatan.
Katanya, langkah itu diambil apabila pekebun memohon kerajaan mengenakan syarat sama ketat terhadap sayur import seperti yang dikenakan terhadap hasil eksport tempatan.
"Sebelum ini, sayur tempatan ke luar negara perlu dapat sijil yang menunjukkan ia bebas racun, tapi sayur masuk ke negara ini tanpa sebarang semakan.
"Sekarang situasinya lebih adil kepada kedua-dua pihak dan kami berharap negara kita tidak dibanjiri sayuran import supaya harga lebih stabil," katanya.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menguatkuasakan CoA bermula esok terhadap lima jenis sayur, iaitu cili merah, timun, tomato, sawi dan kubis bulat.
Ia bagi memperkukuh kawalan keselamatan makanan negara, khususnya dalam memastikan sayuran import yang memasuki pasaran tempatan mematuhi standard keselamatan dan kualiti ditetapkan.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan