Jumaat, 12 Jun 2026

PERANG DAN EKONOMI DUNIA



PERANG

DAN EKONOMI

DUNIA


Ketika tulisan ini di garap dunia sedang heboh dengan  dua perang yang sedang berjalan. Satu : Perang Amerika dan Israel dengan Iran. Dua : Perang Ukraine  - antara Rusia dengan Ukraine.

Perang Gaza dan Perang Sudan masih berjalan. Tetapi  dua perang ini  tidak lagi menjadi berita  induk untuk media dunia.  Malah Perang Rusia-Ukraine tidak lagi setiap hari menjadi laporan muka hadapan akhbar dunia seperti dua tahun dulu. 

Perbualan warga dunia hari ini ialah Perang Amerika, Israel dan Iran atau di kenali sebagai Perang  Selat Hormuz atau Perang Iran. 

Sebelum pecah Perang  Iran telah wujud perang kecilan seperi Perang  Houthi dengan Israel, Perang Saudi dengan Yaman, Perang Kurdish di Syria. Termasuk juga Perang Saudara di Sudan. Dan Perang Israel-Palestin di Gaza.

Perang-perang di Timur Tengah ini semuanya menjuruskan  dan mengarah  dan menuju kepada Perang Iran yang sekarang sedang di pentaskan.

Amerika  disenaraikan sebagai negara nombor satu di dunia dalam hal  kekuatan ketenteraan dan keupayaan peperangan secara keseluruhan. Kuasa Amerika ini sebahagian besarnya disebabkan oleh perbelanjaan pertahanan yang tidak dapat ditandingi, keunggulan teknologi dan sumber strategik yang luas.

Amerika membelanjakan lebih 1 trilion dolar  setiap tahun untuk bujet pertahanan negara. Jika dimasukan tambahan lain seperti faedah veteran bersara dan lain lain lagi bajet ketenteraan Amerika sebenar melebihi 1.5 trilion dolar.

Amerika ada kira-kira 750 hingga 800 tapak pangkalan tentera yang  dipasang  kira-kira dalam 80 negara dalam dunia kita ini.  Ada juga pangkalan rahsia yang kita tidak tahu di mana. Hampir 180 ribu soldadu Amerika  kini sedang berkeliaran di serata dunia.

Contohnya : ada 54,900 soldadu Amerika di Jepun. Ada 37,000 di German, ada 23,400 di Korea Selatan , ada 12,800 di Itali dan ada 10,400 di  UK. Soldadu  rahsia dan pasukan bawah tanah tidak akan kita ketahui jumlahnya.

Dari 29 – 31 Mei 2026 Dialog Shangri-La - secara rasmi dikenali sebagai Dialog Shangri-La IISS telah berlangsung. Dialog  ini ialah sidang kemuncak pertahanan dan keselamatan utama Asia. Dianjurkan setiap tahun oleh Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) di Hotel Shangri-La di Singapura.

Dialog ini akan menghimpunkan menteri-menteri  pertahanan, ketua tentera dan pakar keselamatan dari lebih 40 negara untuk membincangkan geopolitik dan keselamatan yang paling mendesak di rantau ini. 

Saban tahun Menteri Pertahanan kita akan hadir. Tahun 2026  Khaled Nordin mewakili Malaysia. Hadir sama tahun ini ialah  Setiausaha Perang Amerika  Pete Hegseth.

Menteri Perang Amerika ini  menegaskan semula strategi Amerika yang memfokuskan pada "keamanan melalui kekuatan", yang menimbulkan perbezaan yang ketara dengan China mengenai pengembangan serantau dan senjata nuklear di Pasifik.

Pete Hegseth telah mendesak sekutu Asia untuk meningkatkan perbelanjaan ketenteraan mereka kepada 3.5% daripada KDNK – Keluaran Dalam Negara Kasar. Ini  untuk mengatasi peningkatan ketenteraan China yang pesat. Beliau dengan jelas  menyatakan: "kurang Dialog Shangri-La, lebih banyak kapal dan lebih banyak kapal selam" untuk membina kuasa tempur langsung

Jelas dasar dan strategi Amerika ialah menanggap t China Merah sebagai musuh. 

Malah saranan yang sama juga telah disampaikan oleh Amerika kepada anggota NATO – sekutu Amerika di Eropah.

Pada sidang kemuncak NATO di bandar The Hague  pada 24-25 Jun 2025, negara anggota NATO  telah berjanji untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada dari 2 peratus 5 peratus daripada KDNK menjelang 2035.

Justeru hari ini kita terbaca bagaimana kilang kereta Volkswagen kini menjadi kilang membuat kereta kebal.

Volkswagen pada ketika ini belum lagi membina  kereta kebal tentera. Tapi  syarikat itu sedang berbincang untuk menggunakan semula kilang kereta untuk pembuatan alat  berkaitan pertahanan. Ini kerana permintaan  kereta yang merosot.

Syarikat Volkswagen telah mengadakan perbincangan dengan firma pertahanan—termasuk Sistem Pertahanan Termaju Rafael Israel—untuk  menghasilkan komponen sistem pertahanan udara di tapak kilang kereta.

Jepun satelah Perang Dunia Kedua di larang membuat senjata. Ini perjanjian  dengan Amerika  satelah Jepun kalah dalam perang. Kini semua berubah.

Kabinet Jepun meluluskan rekod belanjawan pertahanan 58 bilion dolar atau 9.04 trilion yen.  untuk tahun fiskal bermula April 2026. Ini  peningkatan 3.8% daripada tahun sebelumnya. Perbelanjaan bersejarah ini, yang menandakan kenaikan tahunan ke-12 berturut-turut. Dulu belanja pertahanan hanya  2% daripada KDNK. Kini  menjadikan Jepun pembelanja pertahanan ketiga terbesar di dunia.

Dalam masa yang sama Rusia dan China juga sedang  membina kekuatan senjata.

Bajet tentera persekutuan Rusia yang dirancang untuk 2026 ialah kira-kira 14.9 trilion rubel bersamaan 208.4 bilion dolar. Ini mewakili kira-kira 6.3% daripada KDNK. 

Walau bagaimanapun, gabungan perbelanjaan pertahanan dan keselamatan dalaman kerap menyumbang angka yang lebih tinggi—sehingga 40% daripada semua perbelanjaan persekutuan—dengan anggaran 84% daripada peruntukan pertahanan  yang menjadi rahsia negara.

Manakala bajet pertahanan rasmi China ditetapkan pada 1.91 trilion yuan atau 276.9 bilion dolar. Ini  mewakili peningkatan 7% daripada tahun sebelumnya. China negara ke dua  terbesar dalam  perbelanjaan tentera di belakang Amerika. Yang tersorok dan di rahsiakan  Guruh Nanak pun tidak akan mengetahui.

Jelas dunia sekarang dalam landasan menuju ke arah perang. Dari apa yang sedang berlaku di Iran. Apa yang sedang berlaku di Gaza. Apa yang berlaku di Cuba kelihatan semua negara sedang membuat persediaan perang.

Perang ini perniagaan. Perang ini  satu industri. Kalau German satu dekad dulu bangga dengan industri pembuatan kereta  kini beralih kepada industri buat senjata.

Pada tahun 1935 keluar sebuah  buku kecil bernama War Is a Racket  atau dalam Bahasa Melayu  Perang ialah Perniagaan Gelap. Buku ini di tulis oleh Mejer Jeneral Smedley D Butler  dari  Kor Marin Amerika.

Sosok ini telah bersara dari menjadi soldadu. Dia  telah dua kali  menerima Medal of Honor atau  Pingat Kehormatan tentera. Buku ini berasakan  pengalaman kerjaya ketenteraannya.

Butler membincangkan bagaimana kepentingan perniagaan mendapat manfaat secara komersial daripada peperangan. Beliau telah dilantik sebagai pegawai pemerintah Gendarmerie semasa Haiti menjadi koloni  Amerika  1915–1934.

Dalam buku ini  Butler menunjuk  pelbagai contoh, kebanyakannya dari Perang Dunia Pertama. Di perlihatkan bagaimana para  industrialis yang operasinya mendapat subsidi dari kerajaan telah mengaut   keuntungan yang besar, menjana wang daripada penderitaan umat manusia.

Kata-kata Butler  dalam buku ini terus  rujukan ke hari ini : ‘ ...Saya membantu menjadikan Mexico, terutamanya Tampico, selamat untuk kepentingan minyak Amerika pada tahun 1914. Saya membantu menjadikan Haiti dan Cuba tempat yang baik untuk pekerja National City Bank mengumpul untung.. Saya membantu dalam merogol setengah dozen republik Amerika Tengah untuk faedah Wall Street. Rekod raket  adalah panjang. Saya membantu membersihkan Nicaragua untuk bank antarabangsa milik Brown Brothers pada 1909–1912.....”

Nama Brown Brothers  yang sebelum ini tidak pernah di dengar oleh Butler.

“.. Saya membawa cahaya ke Republik Dominican untuk kepentingan gula Amerika pada tahun 1916. Di China saya membantu memastikan bahawa Standard Oil berjalan lancar tanpa gangguan....”

“...Mengimbas kembali, saya mungkin telah memberi Al Capone beberapa petunjuk. Perkara terbaik yang boleh dia lakukan ialah mengendalikan raketnya di tiga daerah. Saya beroperasi di tiga benua...”

Hakikatnya askar dan soldadu  Amerika ini diupah untuk menjaga kepentingan kaum pemodal.  Dalam istilah  ekonomi-politik  inilah cara imperialisma bergerak. 

Mengikut hujah Lenin pemimpin Revolusi Bolsheviks 1917 : Imperialisma ini adalah tahap paling tinggi dalam sistem ekonomi kapitalis.  

Kaum kapitalis bukan lagi berniaga dan menjarah di kawasan perkampungan sendiri.  Kini kaum kapitalis  telah merayau untuk menjarah,  memunggah bahan mentah dan mengaut keuntungan dari negara asing.

Menjarah dan mencari koloni adalah hukum ekonomi kapitalis. Untuk memastikan keuntungan tidak diganggu gugat maka soldadu dan askar di perlukan.

Kita tidak perlu pergi jauh. Satu masa dulu ada soldadu Inggeris di Terendak Camp Melaka. Ada askar  Inggeris dan Australia di Butterworth.  Malah di Kuala Klawang Jelebu ada soldadu Ghurkha dari Nepal. 

Perang kini amat jelas – ianya bukan lagi perniagaan gelap. Kini perang telah menjadi industri. Malah  apabila German dan Jepun menaikkan bajet pertahanan  ini bermakna  industri perang sedang membantu menjana ekonomi negara.

Ketika ini ekonomi dunia di lihat sedang dalam keadaan amat kacau. Perang di Iran berterusan. Selat Hormuz kini dikawal oleh Iran. Rundingan damai yang di hebohkan oleh Trump masih jauh dari kenyataan.

Jika perang ini industri  dan perniagaan   kenapa belum dilihat laba masuk ke kantung Donald J Trump.  Apakah ada perancangan yang lebih besar dalam Perang Iran ini ? Sila tunggu minggu depan. Amin. (TT)

TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSAI KINI . COM
https://www.malaysiakini.com/columns/777268






Tiada ulasan: