Rabu, 22 Julai 2026

SUSUN ATUR LAWAN


BERITA BAIK

UNTUK DUNIA

AMIN

HARGA MINYAK

AKAN NAIK

AMIN

PELUANG UNTUK

SUSUN ATUR

LAWAN

KHALAS



Houthi beri amaran supaya syarikat perkapalan elak pelabuhan Arab Saudi


SANAA: Syarikat perkapalan diberi amaran supaya tidak memuat atau memunggah kargo di pelabuhan Arab Saudi di Yaman dengan sebarang keingkaran berisiko menyebabkan mereka menjadi sasaran serangan.

Amaran yang berkuat kuasa mulai jam 12.01 tengah hari kelmarin, itu dikeluarkan kumpulan Houthi disokong Iran menerusi e-mel dihantar Pusat Penyelarasan Operasi Kemanusiaan (HOCC) berpangkalan di Sanaa kepada beberapa syarikat perkapalan, Isnin lalu.

Houthi kelmarin, mengisytiharkan sekatan laut terhadap Arab Saudi, sekali gus membuka kemungkinan baharu dalam konflik Iran-Amerika Syarikat (AS) dan meningkatkan ancaman ke atas bekalan tenaga global serta perdagangan antarabangsa.

"Syarikat perkapalan dilarang memuatkan serta memunggah kargo di mana-mana atau dari pelabuhan Arab Saudi, selain digesa mengambil langkah berjaga-jaga dan membuat penelitian sewajarnya dalam semua urusan berkaitan.

"Sebarang pelanggaran akan menyebabkan kapal terbabit dikenakan sekatan atau menjadi sasaran di mana-mana lokasi dalam lingkungan operasi Angkatan Tentera Yaman," katanya.

Penutupan selatan Laut Merah akan menjejaskan laluan alternatif penting Arab Saudi ke Selat Hormuz, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan kekurangan bekalan tenaga.

Aliran trafik di Laut Merah masih belum pulih sepenuhnya sejak Houthi menyerang kapal dagang di pesisir Yaman pada November 2023, sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin dalam perang di Gaza.

HOCC sebelum ini, menjadi saluran utama Houthi mengeluarkan amaran kepada industri perkapalan sepanjang kempen serangan terhadap kapal dagang antara 2023 hingga 2025, sebelum dihentikan susulan gencatan senjata di Gaza pada Oktober tahun lalu.

Sumber syarikat perkapalan percaya e-mel itu adalah peringatan mengenai kehadiran dan kemampuan Houthi bertindak, selain memaklumkan kapal tangki milik Arab Saudi sudah mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mematikan sistem pengesanan automatik.

Syarikat minyak gergasi Arab Saudi, Saudi Aramco, bagaimanapun enggan mengulas perkara itu, walaupun pengeksport minyak terbesar dunia itu meningkatkan penggunaan pelabuhan Yanbu di Laut Merah, sejak konflik AS-Israel dengan Iran, pada 28 Februari lalu.

Sumber industri perkapalan memaklumkan terminal Yanbu masih beroperasi memuatkan minyak ke kapal yang sudah berada atau tiba di Laut Merah melalui Terusan Suez.

Arab Saudi kelmarin, mengecam Houthi yang mendakwa Riyadh mengenakan kepungan ke atas Yaman, sambil menegaskan 'semua langkah perlu' akan diambil bagi melindungi kapal miliknya.

Dua kapal tangki membawa minyak mentah Arab Saudi ke China dan India dilapor berpatah balik di Laut Merah semalam, sebelum menuju ke Terusan Suez serta mengelak pelayaran ke Selat Bab el-Mandeb susulan amaran Houthi.

Selat berkenaan ialah pintu masuk selatan, menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden.

Sementara itu, firma pengurusan risiko maritim Britain, Vanguard, berkata perkembangan itu adalah perubahan pertama disahkan terhadap laluan kapal tangki komersial selepas sekatan diumumkan Houthi, selain dijangka meningkatkan gangguan ke atas eksport minyak mentah Arab Saudi serta corak perkapalan serantau.

Pusat Maklumat Maritim Bersama (JMIC) diketuai Tentera Laut AS pula memaklumkan tiada serangan disahkan terhadap mana-mana kapal melintasi Laut Merah dalam tempoh 48 jam lalu, berdasarkan nasihat keselamatan dikeluarkan semalam. - REUTERS

Tiada ulasan: