Jumaat, 21 Ogos 2026

PENDATANG : JUAL BELI MANUSIA


PENDATANG:

JUAL BELI MANUSIA



Pasti kita semua pernah terbaca berita  kapal tenggelam di Laut  Mediterranean  atau Laut Tengah. Laut Tengah ini letaknya betul-betul di tengah-tengah.

Di utara Laut Tengah  ini ialah  benua Eropah, di selatan ialah Benua Afrika dan Asia di sebelah Timur. Laut Tengah ini dihubungkan dengan Laut Atlantik oleh Selat Gibraltar.  

Kita juga pasti pernah melihat gambar mayat terapung atau terdampar di pantai kerana kapal yang di tumpang  tenggelam. Kita juga pasti pernah melihat klip video dalam media sosial menunjukkan para penumpang sedang terjun cuba menyelamatkan diri kerana kapal tenggelam. 

Kita juga pernah melihat para penumpang yang selamat berbaris berdiri beratur atau mencangkung di darat tepi pantai – di  bumi Eropah dimana pihak berwajib sedang menjalankan tugas. 

Kapal yang tenggelam ialah kapal yang membawa pendatang haram yang sedang  dalam perjalanan dari Afrika menuju Eropah. 

Kita juga membaca angka kematian penumpang yang lemas, yang masih hilang dan yang dapat diselamatkan. 

Antara para penumpang : Ada Emak Ayah  dan anak-anak, ada Ibu sarat mengandung, ada ayah bersendirian. Dan paling ramai  anak-anak muda  di bawah umur tiga puluh tahun. 

Mereka merentas Laut Tengah dari Afrika dan Asia menuju ke Eropah.

Mereka menuju ke satu wilayah yang mereka tidak  tahu. Mereka memiliki keberahian yang maha sangat untuk menjejak kaki ke bumi Eropah. 

Keberahian ini mewajibkan mereka   melintasi Laut Tengah yang sekala sekali bergelora. Mereka menyimpan harapan akan  selamat mendarat di Eropah. 

Dari  bumi Afrika niat mereka akan sampai ke mana saja - ke Peranchis,  ke Itali atau ke  German. Negara mana pun tidak penting. Apa yang wajib ialah jejak kaki ke bumi Eropah.

Dimana letaknya  German, dimana Itali atau di mana England  atau Sweden atau Sepanyol  tidak pernah wujud dalam  peta perkiraan mereka. Yang penting jejak kaki dulu ke bumi yang di panggil Eropah.

Mereka pernah mendengar dan melihat gambar kota Paris, pernah mendengar nama kota Rom  atau pernah mendengar  dan melihat  filem kota London.

Pasti ada sesuatu yang  memangkin dan mengasak   keberahian  untuk sampai ke Eropah ini.  Eropah  menjadi satu besi berani yang terus menarik pendatang ini.

Hakikatnya semua pendatang ini berniat dan memiliki berahi untuk memperbaiki kehidupan mereka di Eropah.  
Memperbaiki kehidupan...saya ulang ...memperbaiki kehidupan. Inilah  sebab utama dan niat para pendatang ini.

Semua pendatang ini sedang bersedia membanting tulang memburuh mencari makan di Eropah.  Dengan tulang empat kerat mereka bersedia untuk mencari  apa saja peluang pekerjaan di Eropah

Kalau dari  Afrika  kampung halaman bakal pendatang haram ini mungkin  di kota Timbuktu di Mali atau dari kota Agadiz di Niger atau dari Chad, dari  kota Lagos di  Nigeria, atau dari kota Bamako  di Burkina Faso.

Semua negara-negara ini   di kenali sebagai negara Sub-Sahara. Negara ini terletak di tepat atau di bawah padang pasir Sahara. Justeru mereka ini  warga Afrika berkulit hitam.  

Kadang kala kita terbaca  kapal yang ditumpangi oleh warga Afrika yang tenggelam ini ada juga membawa  pendatang dari Pakistan, dari India atau dari Afghanistan.

Semua pendatang haram ke Eropah ini memiliki cerita masing-masing. Apa yang menyatukan mereka semua ialah  keberahian untuk memperbaiki kehidupan. Untuk hidup lebih baik dari apa yang sedang mereka alami  di Niger, di Pakistan, di Mali  atau di Chad. 

Perjalanan dari kampung halaman menuju Eropah  bukan satu perkara yang mudah. Malah perjalanan itu bukan macam perjalanan Mak Limah  dari  Kampung Chennah nak pergi Umrah ke Mekah. 

DI Bamako, di Lagos, di Karachi, di Kabul atau  di Timbuktu  telah sedia ada para  ajen yang boleh membawa para pendatang ini  ke   Eropah. Ini bukan Travel Agency seperti yang kita lihat kedainya di Bukit Bintang. 

Betul mereka klim menjadi Travel Agency tapi sebenarnya mereka  ini menjalankan kerja menyeludup. Menyeludup manusia dari Afrika masuk secara haram  ke Eropah. 

Warga  Afrika ini kerana miskin dan papa kedana tidak memiliki jalan merasuah atau membeli untuk mendapatkan pasport negara masing-masing. 
Jika pun memiliki  pasport adalah mustahil... saya ulang... adalah mustahil untuk mereka mendapat visa  terbang ke  Paris atau London  atau Berlin.

Justeru mereka wajib  menyeludup – merentas semua sempadan negara tanpa kebenaran. Jika dari Bamako Mali mereka masuk  ke  Burkina Faso masuk ke Chad masuk ke Niger dan masuk ke Libya.

Semua ini memerlukan duit – bukan murah. Mereka bergadai bergolok. Menjual tanah, menjual  kerbau dan lembu  untuk mencari modal. Pinjam meminjam dan berjanji apabila telah bekerja di London maka akan hantar pulang  duit hutang. 

Perjalanan ini mengambil asa yang lama. Tukang seludup dari Mali  bukan  semudah itu dapat melintas semua sempadan ke Libya. Perjalanan mungkin berminggu, mungkin berbulan. 

Libya kini menjadi pusat jual dan seludup manusia.  

DI Libya ada pasaran jual  beli  manusia moden dan pasaran hamba haram Pasaran ini beroperasi  kerana krisis politik satelah kerajaan Gadaffi runtuh pada tahun 2011. 

Krisis ini sangat menjemput  pendatang dari Afrika sub-Sahara yang memasuki Libya dengan niat untuk menyeberangi Laut Mediterranean bagi menuju ke Eropah.

Hakikatnya  sesudah  kerajaan Muamar Gadaffi runtuh Libya telah menjadi negara gagal.  Libya kini pecah tiga.

Libya terbahagi dengan ketara antara dua kerajaan yang bersaing serta pasukan tentera yang bertentangan. Kerajaan Perpaduan Nasional yang diiktiraf oleh PBB menguasai wilayah barat dari Tripoli.

Satu lagi  pentadbiran selari yang disokong oleh Tentera Nasional Libya menguasai wilayah timur dan selatan. 

Bahagian bawah  ke arah sempadan  padang pasir Sahara  di kawal oleh samseng, kumpulan bersenjata dan penyeludup. Di wilayah inilah  pusat berkumpul para pendatang dari Afrika  yang berniat untuk ke Eropah.

Perjalanan  ke Eropah ini bukan mudah. Para penyeludup ini bukan Abang atau Pak Cik  pemandu Teksi dari  Pantai Dalam yang lemah lembut. 

Pemandu van ini  tidak membawa pasport tapi membawa senjata. Dalam perjalanan  ke sempadan Libya mereka  akan berhadapan dengan kumpulan perompak bersenjata.

Jika  bertemu dengan kumpulan ini  - nasib di anggap baik jika hanya duit dan talipon bimbit yang di rampas. Jika van di rampas maka mereka akan mati kehausan  sesat dalam padang pasir Sahara.

Statistik kematian yang di keluarkan oleh negara Eropah  yang kita baca itu tidak termasuk puluhan  malah ratusan yang mati tersadai dalam padang pasir Sahara.

Jika telah  berjaya  merentas sempadan masuk ke Libya – para pendatang ini wajib menunggu. Jika di Timbuktu menunggu jeep – di Tripoli wajib menunggu dan mencari bot  untuk menyeberang  Laut Tengah ke Eropah.

Bahaya masih menunggu. Jika di tangkap oleh pihak polis atau soldadu Libya maka jawabnya akan masuk ke  kem tahanan. 

Jika ada modal boleh merasuah dan lari keluar. Jika tidak akan tersadai dalam kem tahanan.  Atau  dipaksa  menghubungi keluarga di kampong untuk menghantar duit untuk di bebaskan.

Untuk menekan keluarga – teknologi   talipon bimbit telah membantu. 

Sosok yang di tahan akan di pukul  di hadapan talipon bimbit yang ada rakaman   panggilan video. Keluarga di kampung akan melihat  seksaan sedang berjalan. Selagi duit tidak sampai  seksaan akan terus berjalan.

Malah ada yang ditangkap dan di jual sebagai hamba abdi. Maka  tahun 2026 kita  kembali ke zaman Nabi Muhamad dimana manusia boleh di jual beli untuk di jadikan hamba abdi.

Wanita akan menjadi mangsa rogol. Malah ramai  anak dara dari Afrika yang berniat nak  ke Eropah tersadai di Libya menjadi pelacur. Perniagaan ini di kawal oleh polis dan soldadu Libya.

Dari mati kehausan di Sahara, dari menjadi hamba abdi  atau pelacur di Libya masih tidak mematahkan niat dan keberahian para pendatang ini untuk ke Eropah.

Melalui maklumat mulut para pendatang ini  akan merisik dan mencari  Travel Agency  a.k.a  Agensi Seludup yang berjanji akan membawa mereka  menyeberang ke Itali.

Bumi Itali ini menjadi sasaran dari Libya kerana  dua wilayah ini paling dekat dan perjalanan laut paling singkat. 

Dari Libya Barat – dari kota Tripoli atau Sabrath biasanya  mengambil masa 1 hingga 3 hari untuk sampai ke wilayah Itali yang terdekat, seperti Pulau Lampedusa, yang terletak kira-kira 300 kilometer (186 batu) jauhnya. 

Penyeludup  kebanyakan menggunakan bot kecil yang diperbuat daripada getah. Bot dan perahu kecil ini  menjadi jambatan penghubung untuk meninggalkan kehidupan merempat di Lagos,  di Timbuktu atau di Bamako.

Berita bot  inilah yang kita baca dan kita lihat gambarnya di media.  Jika hanya  tiga hari pelayaran dan 186 batu juahnya  dari Tripoli ke Itali kenapa bot ini menjadi berita dunia. Tunggu minggu hadapan. Amin. (TT)


 TULISAN INI
DISIARKAN JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/782683




 


 





Tiada ulasan: