Jumaat, 14 Ogos 2026

PENDATANG: PENOLAK - PENARIK


PENDATANG 

PENOLAK - PENARIK


Sesuatu yang berlaku di dunia ini semua ada sebab musabab. Tidak ada satu pun perkara berlaku tanpa sebab.  Rumah terbakar kerana gencatan leterik. Bangunan runtuh kerana gempa bumi. Pasti ada sebab. Pasti ada penyebab.

Imigran dan pendatang memberi makna yang sama. Imigran berasal dari bahasa Inggeris – immigrant.  Satu kumpulan atau satu sosok datang dari wilayah yang lain untuk menetap di tempat baru. Maka  mereka di kenali sebagai pendatang.

Mereka berhijrah atau beremigrasi. Justeru kita ada Jabatan Imigresen khusus  untuk mengendalikan kemasukan orang luar ke negara kita. 

Justeru ada pendatang masuk ke Malaysia  sebagai pelancong atau pelawat.  Ada yang datang kerana menyambung belajar. Ada yang datang untuk bekerja. Semua ini datang secara resmi. 

Mereka  datang dengan menggunakan pasport yang di keluarkan oleh negara mereka.  Mendapat visa untuk memasuk  ke Malaysia. Visa ialah hak kebenaran untuk tinggal di Malaysia  mengikut  hari, minggu, bulan dan tahun yang tertulis dan di benarkan oleh  visa.

Justeru mereka bukan pendatang haram.

Pendatang haram ialah mereka yang menyeludup masuk merentas sempadan tanpa kebenaran. Mereka masuk melalui  sempadan darat. Masuk melalui jalan laut secara gelap.

Pasport, visa, sempadan, negeri, negara dan  warga negara adalah konsep baru – konsep moden. Seratus tahun dahulu konsep ini tidak wujud. 

Pendatang  yang kini membanjiri Malaysia juga  muncul kerana ada sebab. Ada puncanya.  Pendatang China datang dari negeri China. Pendatang India datang dari negara India.  Rohingya datang dari Myanmar. 

Semua ada sebab musabab. Ada persejarahan. 

Pendatang halal dan haram ini  ada asal usul masing-masing negara.  Hakikatnya pendatang juga adalah anak  watan yang memiliki bumi daerah tanah tumpah darah  asal usul nenek moyang  mereka. Di bumi asal usul mereka adalah  tempat kelahiran budaya dan  bahasa.

Budaya dan bahasa China lahir di Tanah Besar China. Budaya dan bahasa India lahir dari India. Bahasa dan budaya Bangla  lahir dari Bangladesh bukan dari Tanah  Melayu.

Hari ini dalam Kota Kuala Lumpur kita mendengar dan melihat pelbagai bahasa dan budaya dari kaum pendatang. Jika dihalusi dan dikaji maka kita akan bertemu dengan punca dan asal usulnya.

Ada pelbagai sebab kenapa seseorang itu berpindah dari satu wilayah ke satu wilayah yang lain.  Pasti ada sebab. Pasti ada penyebab.

Dari apa yang kita baca – semua umat manusia ini berasal dari Bumi Afrika. Dari kajian manusia Homo erectus bergerak meninggalkan  benua Afrika . Ini berlaku 2 juta tahun dulu. Homo erectus inilah yang  menjadi punca umat manusia  dalam dunia hari ini.

Manusia berpindah randah kerana  panggilan ekonomi. Panggilan untuk mencari makan. Panggilan untuk memperbaiki  kehidupan. 

Babak perpindahan manusia dalam bentuk 2 juta tahun dahulu ini kita tinggalkan untuk para ilmuwan mengkaji. 

Untuk  kita     - apa yang  ingin kita fahami ialah pendatang kontemporari yang ramai  datang ke Tanah Melayu  hari ini bukan ribuan tahun dulu. Yang kita ternampak. Yang kita terbaca dan yang kita  terdengar hari ini.

Untuk mudah faham manusia pindah  apabila tempat kediaman mereka tidak lagi selamat.  Keselamatan diri  adalah punca pertama. Punca  kedua ialah apabila   kampung halaman  tidak dapat lagi  membolehkan mereka mencari kehidupan.

Dua perkara penyebab ini  dari zaman berzaman tidak pernah berubah. Keselamatan dan peluang mencari kehidupan adalah  punca manusia bergerak.

Keselamatan ertinya aman damai. Tidak selamat bermakna wilayah itu ada peperangan.  Untuk memahami perang sebagai punca  kemunculan pendatang – mari  kita lihat apa yang berlaku dalam Perang  Dunia Ke Dua. 

Perang Dunia Ke Dua ini melibatkan  Eropah dan Asia.  Negara Eropah di langgar oleh Hitler dari German dan Mussolini dari Itali.   Di Asia yang melanggar dan menceroboh ialah Jepun.

Di Asia termasuk  di Tanah Melayu tidak wujud  pelarian perang seperti di Eropah. 

Agenda  Perang Dunia  Ke Dua  di Eropah ialah membantai kaum Yahudi. Ada suku kaum yang ingin dihalau keluar dari bumi Eropah.  

Mana Yahudi  yang sempat selamat telah  melarikan diri ke Amerika Utara. Justeru  Yahudi menjadi pendatang utama di Amerika.  Ada juga Yahudi yang  melarikan diri dari Eropah dan masuk  menjadi pendatang  di bumi Arab  Palestin. 

Yahudi pendatang dari Eropah ini mendirikan  apa yang mereka panggil Israel di bumi Arab.  Hakikatnya  Yahudi pendatang ini telah menjajah Palestin atas nama menyelamatkan diri. 

Akibat dari kedatangan Yahudi ini Perang Arab-Yahudi meledak   pada tahun 1948. Mesir, Syria,  Jordan dan Iraq terlibat dalam perang ini untuk mempertahankan bumi Arab  Palestin. 

Hingga ke hari ini hasil dari perang ini warga Palestin telah menjadi pendatang di Mesir, di Iraq, di Syria dan di Lebanon. Malah  dianggarkan lebih dari 70%  warga Jordan berasal usul dari Palestin.

Pendatang Palestin menjadi contoh terbaik untuk membuktikan  sebab utama pendatang ialah perang.

Kita Di Malaysia jangan melupakan boat people  - pendatang ke Tanah Melayu hasil dari pelarian perang Vietnam yang berakhir pada tahun 1974.  

Segarkan ingatan : Sebelum Lebuh Raya Utara Selatan di buat – di wilayah Sungai Besi kita akan dapat melihat  penempatan pendatang dari Vietnam, Laos dan Kemboja. 

Pulau Bidong dan Pulau Babi Besar  menjadi wilayah sasaran pendatang yang sampai berperahu ke  Semenanjung dari Vietnam.

Pendatang dari Perang Vietnam ini menjadikan Malaysia tempat singgah sementara. Mereka menunggu bantuan  Bangsa-Bangsa Bersatu – UNHCR -  untuk mendapat suaka di Amerika dan di  Eropah.

Bila Perang Bosnia  pecah (1992-1995 ) kita juga menerima lebih dari 2000 orang warga Bosnia. Mereka menjadi pendatang sementara menunggu perang berakhir  untuk pulang kembali ke Eropah.

Hakikatnya Malaysia menerima pendatang yang menjadi mangsa perang ini bukan satu yang baru.

Perang menjadi pemangkin yang mendorong kelahiran pendatang.  Bila negara berperang maka warga tidak selamat. Bila tidak ada keselamatan maka warga akan berpindah ke tempat yang lebih selamat.

Kes klasik yang terus menjadi rujukan  tentang  pendatang pelarian perang berlaku pada 31 Ogos 2015. Ketika  itu Canselor German ialah Angela Merkel.

Dalam satu sidang akhbar Canselor Merkel telah  membuat kenyataan beliau yang terkenal, "Wir schaffen das" - "Kita mampu melakukannya".

Ini adalah dasar kerajaan German yang memberi isyarat bahawa German mampu menangani kemasukan besar-besaran pendatang dan pencari suaka – refugees.

Ketika itu Perang Afghan  dan Perang di Syria sedang rancak berlaku.  Warga pelarian perang yang sempat  menyelamatkan diri telah berkumpul di Turki , di Austria ,  di Hungary di beberapa negera Arab.

Bila German membuka pintu masuk maka  lebih dari 1 juta pendatang dan pelarian perang telah meluruh masuk ke German.

Ini belum pernah berlaku.  Kemasukan lebih dari 1 juta pendatang ke German ini bukan sahaja telah mengubah lanskap politik German. Malah apa yang di lakukan  oleh Canselor  Merkel  telah mengubah  politik Eropah.

Apa yang berlaku di German telah membuka  mata para pemimpin politik di Eropah.  Pada  ketika ini isu pendatang dan pendatang haram memang menjadi isu perbincangan politik di UK, di Belgium, di Belanda  atau di Peranchis. Tetapi apa yang telah dilakukan oleh Merkel ini memeranjatkan semua  parti politik di Eropah.

Poland  bukan sahaja memagar sempadan malah akan menembak mati pendatang haram yang cuba menyeludup masuk ke Poland dalam perjalanan ke German. 

Niat Canselor Merkel ialah untuk memberi perlindungan  pelarian perang.  Ini satu niat yang baik. Tapi niat Merkel yang baik ini telah menjemput pendatang baru dari Nigeria, dari Pakistan, dari Bangladesh untuk masuk ke German.

Pendatang yang tidak ada sangkut paut dengan Perang Afghan atau Perang Syria  telah menyeludup masuk.

Apa sebenarnya perancangan Canselor Angela Merkel.  Apa  latar belakang politik yang memaksa Merkel  untuk membuat dasar  ‘pintu terbuka’ kepada pendatang.

Negara  yang pada satu ketika  dulu membantai, membakar , membunuh dan menghalau Yahudi  kini membuka pintu untuk pendatang masuk? Tunggu minggu hadapan. Amin. (TT)



TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI . COM
https://www.malaysiakini.com/columns/782104




 

Tiada ulasan: