MARI IKUT
CARA PERANCIS
AMIN
FESHEN PARIS
CHIC STYLO MILO
AMIN
MAKAN COOL
AIR ANGGUR
AMIN
BILA MASA
BERDEMO SATU
NEGARA TURUN
KE JALAN
AMIN
HALUAN KIRI
MERENTAP DUNIA
KHALAS
PARIS: Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu, memberi amaran dan menyifatkan sebarang tindakan meningkatkan ketegangan dalam demonstrasi di sekolah menengah sebagai tidak bertanggungjawab'
Ia susulan gerakan protes pelajar yang kini merebak ke bandar di luar wilayah Paris, sehari sebelum mogok nasional membabitkan pekerja sektor awam.
Pelajar sekolah menengah sejak minggu lalu menyekat akses ke sekolah dan mengadakan demonstrasi bagi membantah beberapa isu, termasuk kelas yang terlalu sesak, beban tugasan yang tinggi serta kekurangan guru.
Gerakan di sekolah menengah Perancis itu bermula di wilayah Ile-de-France sekitar Paris, dengan beberapa kes vandalisme dilaporkan selain bunga api dilemparkan ke arah polis.
Protes itu kelihatan merebak ke wilayah lain sejak semalam, dengan empat sekolah menengah disekat di wilayah Alpes-Maritimes dan Var di selatan negara itu.
Demonstrasi turut dilaporkan berlaku di Marseille, kawasan Lille di utara dan Sedan di wilayah Ardennes di timur laut.
"Bunga api, kebakaran, keganasan berhampiran sekolah menengah.. tiada apa yang membenarkan tindakan membahayakan pelajar, kakitangan atau anggota polis," kata Lecornu menerusi X.
Beliau mengkritik gesaan parti berhaluan kiri, France Unbowed (LFI), supaya gerakan itu diperluaskan.
"Perbuatan menghasut ketegangan ini tidak bertanggungjawab," katanya, sambil menambah masalah yang dihadapi sekolah menengah perlu didengar dan ditangani.
Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez, berkata demonstrasi dan sekatan akses ke sekolah itu bukan bentuk gerakan bantahan yang lazim.
"Ia lebih menyerupai keganasan bandar, dengan sebilangan individu bertopeng, membawa bunga api dalam tiub serta objek untuk dilempar, yang jelas mahu berdepan dengan pasukan keselamatan dalam negeri.
"Ia bukan mengenai mengemukakan tuntutan, sebaliknya benar-benar keganasan dalam bentuk paling nyata," katanya.
Nunez memberitahu pemberita seramai 164 individu ditahan pada Isnin dan 180 sekolah terjejas, sambil menegaskan pihaknya tidak boleh bertolak ansur dengan tindakan melampau.
Beliau berkata seramai 12 anggota pasukan keselamatan, 12 pelajar dan tiga kakitangan sekolah cedera pada Isnin.
"Kita jelas berdepan keganasan bandar yang cuba mengambil kesempatan daripada gerakan pelajar sekolah menengah yang pada asalnya bersifat biasa.
"Namun, kini ia memperkenalkan tindakan ganas yang memutuskan hubungan dengan konsep demokrasi di sekolah," kata Menteri Pendidikan, Edouard Geffray. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan