Isnin, 2 Februari 2009

KENYATAAN AKHBAR YB ARUMUGAM ADUN BUKIT SELAMBAU - KEDAH


Sidang media ini dipanggil untuk menerangkan beberapa perkembangan terbaru yang serius yang melibatkan isu-isu politik yang berunsurkan jenayah yang sedang berlaku di negeri Kedah, yang melibatkan saya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah dan ahli EXCO Kerajaan Negeri Kedah.

Satu repot polis telah dibuat hari ini merangkumi semua kes-kes ugutan jenayah terhadap saya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah dan ahli EXCO Kerajaan Negeri Kedah, dan juga terhadap keselamatan keluarga saya sejak dari 8hb Mac, 2008. Ianya juga melibatkan semua ugutan terhadap pegawai-pegawai dan bekas-bekas pegawai saya. Ke semua ini adalah bertujuan bagi mengugut saya untuk bersetuju berpindah parti dari Parti Keadilan Rakyat ke Barisan Nasional.

Antara insiden-insiden yang melibatkan ugutan jenayah adalah cubaan menculik saya pada 17/10/2008, mengugut saya melalui pegawai saya melalui beberapa panggilan telefon yang antaranya pada 31/3/2008, mengugut keselamatan keluarga saya, insiden memecahkan cermin kereta rasmi exco kerajaan negeri model Proton Perdana no BKL 4000 dengan meninggalkan nota ugutan yang diikat pada seketul bata pada 17/12/2008, dan juga menghantar beberapa beberapa individu untuk memujuk saya keluar dari Parti Keadilan Rakyat, yang terbaru sekali beberapa hari yang lalu, dengan beberapa tawaran lumayan.

Perkembangan peristiwa yang menimpa 2 orang teman exco PKR di Perak telah menyebabkan saya tampil untuk membuat kenyataan akhbar ini. Saya khuatir, sekiranya saya tidak tampil ke hadapan untuk membuat pernyataan secara terbuka ini, keselamatan dan ketenteraman saya dan keluarga saya akan terus diganggu, diugut secara jenayah serta dipujuk untuk memastikan saya berpindah parti.

Saya juga mendesak agar pihak polis akan segera membuat siasatan terhadap ke semua laporan-laporan polis yang telah saya buat sejak Mac, 2008 dan mengambil tindakan segera dan tegas bagi menjamin keselamatan saya dan keluarga saya. Ini semua akan membolehkan saya mampu berkhidmat dengan lebih baik dan berkesan selaku ahli exco kerajaan negeri Kedah dan ahli dewan undangan negeri Bukit Selambau, tanpa sebarang gangguan terhadap saya dan keluarga saya.



Sekian, terimakasih,

Arumugam a/l Vengatarakoo,

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau,
merangkap EXCO Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman





1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ape dah jadikkk????

gerombolan makin murah...
lebih murahh dr pelacur2 di blakang mati(merc)!!

hahaha...bawak2 insaf la woii!!!