Nurul Izzah Aidilfitri

selangorku 1

.

Selasa, 23 Ogos 2011

KENYATAAN RESMI




JAWATANKUASA PILIHAN KHAS PEMBAHARUAN PILIHAN RAYA TAK GAMBARKAN KEIKHLASAN PM DAN UMNO-BN


Saya merujuk kenyataan terbaru Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Ahli Parlimen Temerloh yang meminta Pakatan Rakyat menyertai Jawatankuasa Pilihan Khas Pembaharuan Pilihan Raya dan tidak mempersoalkan keikhlasan Najib Razak dan UMNO-BN dalam menubuhkannya.

Saya pertama sekali ingin memuji Saifuddin sebagai antara minoriti kecil Menteri/Timbalan Menteri BN yang punya keberanian menyatakan prinsip dan pandangannya walaupun diserang bertubi-tubi oleh UMNO sendiri.

Pun begitu dalam hal ini saya berbeza pandangan dengannya.

Amalan perlantikan Jawatankuasa Pilihan Khas ini adalah amalan Parlimen Westminster. Secara tradisinya, Jawatankuasa Kira-Kira Awam (Public Accounts Committee atau PAC) yang dilihat memainkan peranan penting dalam memastikan kebertanggungjawaban dan ketelusan Kerajaan yang memerintah dipengerusikan Ahli Parlimen pembangkang. Ini bukan sahaja amalan di negara maju. India, misalnya, mempunyai Pengerusi PAC yang dipilih daripada pembangkang sejak tahun 1967.

Negeri pertama di Malaysia yang mengusulkan agar Pengerusi PAC diberikan kepada pihak pembangkang ialah Selangor di bawah Pakatan Rakyat pada tahun 2010. Cadangan itu dipersetujui oleh YB Khir Toyo dalam pertemuan dengan Speaker DUN Selangor Teng Chang Khim sebelum Sidang DUN pada Julai 2010 tetapi kemudian usul perlantikan Pengerusi PAC daripada pembangkang (BN) ditolak ketika Sidang DUN berlangsung.

Saya tidak tahu mengapa BN tukar fikiran di Selangor, tetapi kita berharap PM dapat menunjukkan kepimpinannya dan keikhlasannya dalam transformasi demokrasi negara dengan meletakkan syarat ini. Saya yakin Pakatan Rakyat tiada masalah menerimanya.

Malah, bukan ini sahaja. Pada 15 Ogos PM menegaskan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Pembaharuan Pilihan Raya dibuat bagi memastikan pilihan raya akan datang akan dijalankan secara bersih dan adil tanpa boleh dipertikaikan mana-mana pihak.

Ini nampaknya ekoran nasihat penasihat-penasihat dan konsultan-konsultan mewah yang dilantik BN yang melihat kesan negatif cara PM menguruskan BERSIH 2.0.

Tetapi penyakit ‘flip-flop’ ini terus menular dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Pembaharuan Pilihan Raya apabila PM tunduk kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menegaskan pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa dan tidak tertakluk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut.

Setiap pelajar undang-undang dan Perlembagaan Malaysia tahu kuasa membubarkan Parlimen adalah tertakluk kepada nasihat PM kepada Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Mengapa PM harus mengalah kepada TPM dalam hal ini?

Wujud sedikit harapan bahawa PM akan akhirnya menunjukkan kepimpinannya dan menjadikan Jawatankuasa Pilihan Khas ini sebagai warisannya kepada demokrasi Malaysia tetapi nampaknya harapan tersebut berkecai lagi.

Beza Pakatan dan BN ialah jelas – Pakatan cakap serupa bikin dan BN pula cakap tak serupa bikin.

NIK NAZMI NIK AHMAD
Pengarah Komunikasi
Parti Keadilan Rakyat

Tiada ulasan: