Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mengesan empat kejadian vandalisme ke atas kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) daripada tujuh yang dipasang di beberapa lokasi, antara Oktober dan November lepas.

Pengarah JPJ Perak, Ramli Awg Seberang berkata ia melibatkan kamera yang dipasang di Km205.6 berhampiran Kamunting dan Km373.2 di Slim River, kedua-duanya di Lebuh Raya Utara-Selatan yang disembur cat merah dan dipercayai ditumbangkan.

Beliau berkata sebuah lagi kamera di Jalan Pasir Putih di Ipoh juga dipercayai ditumbangkan dan sebuah lagi di Sungkai disembur cat hitam.

"Kita kategorikan semua kes ini sebagai kes vandalisme berat," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat mengenai AES kepada jabatan dan agensi kerajaan, pihak media dan badan bukan kerajaan di Ipoh hari ini.