Russia lancar serangan besar-besaran terhadap infrastruktur tenaga di Ukraine
KYIV: Russia melancarkan serangan besar-besaran kedua terhadap infrastruktur tenaga Ukraine, menyebabkan ratusan ribu penduduk terjejas.
"Infrastruktur tenaga sekali lagi menjadi sasaran serangan besar-besaran musuh," tulis Menteri Tenaga Ukraine, German Galushchenko di Facebook.
Syarikat tenaga swasta utama Ukraine, DTEK berkata gangguan elektrik memberi kesan kepada ibu negara serta wilayah Kyiv, Odesa, Dnipropetrovsk, dan Donetsk.
Sebelum ini, Russia melancarkan 10 serangan besar terhadap infrastruktur tenaga negara itu, yang merosakkan sistem dan menimbulkan kebimbangan mengenai gangguan elektrik yang berpanjangan menjelang musim sejuk.
Semasa serangan peluru berpandu hari ini di wilayah barat Rivne, gabenor Oleksandr Koval berkata 280,000 pengguna terjejas akibat gangguan elektrik.
Beliau juga melaporkan gangguan bekalan air tanpa memperincikan kerosakan yang berlaku.
Datuk Bandar bandar barat Lutsk melaporkan gangguan elektrik berlaku selepas beberapa serangan, menambah bahawa bahagian perkhidmatan sedang berusaha untuk menyambungkan infrastruktur air dan pemanasan kepada sumber tenaga alternatif.
Gabenor wilayah Kharkiv, Oleh Syniehubov, berkata serangan peluru berpandu di bandar itu merosakkan sebuah kemudahan perniagaan dan tingkap di sebuah bangunan apartmen.
Serangan peluru berpandu di wilayah timur laut Sumy mensasarkan infrastruktur, kata pihak berkuasa wilayah.
Serpihan (peluru berpandu) di Kyiv jatuh di kawasan sebuah kemudahan perniagaan dan menyebabkan kerosakan kecil pada beberapa bangunan dan sebuah trak, kata pentadbiran tentera bandar Kyiv. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan