Geng Mat Sero tumpas ketika cuba seludup 35 warga Myanmar dari Kelantan ke Lembah Klang
KUALA LUMPUR: Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) diketuai seorang lelaki digelar 'Mat Sero' tumpas dalam satu operasi khas oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di sekitar Kota Bharu, Kelantan, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata operasi bermula jam 5.52 pagi itu susulan maklumat dan risikan selama tiga bulan yang membawa kepada tindakan memintas beberapa kenderaan dipercayai digunakan untuk mengangkut PATI.
"Berdasarkan maklumat dan risikan, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi tempat letak kenderaan awam dan berjaya menahan lapan kenderaan yang dipercayai digunakan untuk mengangkut PATI.
"Ketika pemeriksaan, kumpulan 'transporter' bertindak agresif dan cuba melarikan diri dengan memecut laju kenderaan dan melanggar beberapa kenderaan lain termasuk kenderaan pasukan operasi, namun berjaya dipintas," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zakaria berkata, terdapat warga asing keluar daripada kenderaan berkenaan dan cuba melarikan diri dengan bersembunyi di dalam semak berhampiran sebelum berjaya dikesan pasukan operasi.
"Seramai tiga lelaki tempatan yang diketuai oleh 'Mat Sero' serta satu lelaki warga Myanmar yang dipercayai berperanan sebagai 'transporter' ditahan.
"Turut ditahan, 35 warga asing terdiri daripada 22 lelaki warga Myanmar, 12 wanita warga Myanmar dan seorang kanak-kanak perempuan warga Myanmar," katanya.
Kesemua tahanan berusia antara lima hingga 45 tahun.
Katanya, Imigresen turut menyita tiga telefon bimbit dan lapan kenderaan jenis Mitsubishi Triton, Toyota Cross, Toyota Innova, Toyota Rush, Isuzu D Max, Nissan X Trail, Toyota Voxy dan Proton X90 untuk tindakan lanjut.
"Modus operandi sindiket ini ialah membawa masuk PATI melalui laluan tikus di sempadan Kelantan menggunakan 'transporter' warga Myanmar sebelum diserahkan kepada 'transporter' tempatan untuk dibawa ke lokasi ditetapkan di sekitar Lembah Klang.
"Kadar bayaran dikenakan antara RM400 hingga RM500 bergantung jarak perjalanan.
"Tiga lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Myanmar ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran ATIPSOM 2007 manakala 35 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikutn Seksyen 6 1 c Akta Imigresen 1959 63," katanya yang turut memaklumkan kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Kelantan untuk tindakan lanjut.
Operasi semalam turut disertai 20 pegawai pelbagai pangkat daripada Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta Imigresen Kelantan.
"Siasatan diteruskan bagi mengesan bakinya selaras dengan prinsip Madani yang menolak anasir jenayah yang merosakkan kedaulatan negara.
"Tindakan tanpa kompromi akan diambil terhadap mana mana pihak yang terbabit dalam penyeludupan migran," katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan