MCMC sekat sementara akses Grok
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini, menyekat sementara akses kepada platform kecerdasan buatan (AI) Grok bagi pengguna di negara ini.
MCMC dalam kenyataan, berkata sekatan itu susulan penyalahgunaan Grok berulang kali untuk menjana kandungan lucah, kandungan seksual eksplisit, kandungan tidak senonoh yang jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan.
"Ia termasuk kandungan membabitkan wanita dan kanak-kanak, walaupun libat urus kawal selia sudah dikeluarkan kepada X Corp dan xAI LLC," menurut kenyataan itu, hari ini.
Menurut kenyataan itu juga, MCMC sudah mengeluarkan notis kepada X Corp dan xAI LLC pada 3 dan 8 Januari lalu.
Katanya, notis itu menuntut antara lain pelaksanaan langkah perlindungan teknikal dan penyelia kandungan yang berkesan untuk mencegah kandungan janaan AI yang mungkin melanggar undang-undang Malaysia, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Bagaimanapun, maklum balas yang dikemukakan oleh X Corp pada 7 dan 9 Januari 2026 hanya memberi tumpuan utama kepada mekanisme pelaporan yang dimulakan oleh pengguna serta gagal menangani risiko sedia ada yang wujud hasil daripada reka bentuk dan pengoperasian alat AI berkenaan.
"MCMC mendapati perkara ini tidak memadai untuk mencegah kemudaratan serta memastikan pematuhan kepada undang-undang," katanya.
Sekatan berkenaan dikenakan sebagai langkah pencegahan yang wajar sementara proses perundangan dan kawal selia masih berjalan.
"Sekatan akses kepada Grok akan kekal sehingga langkah perlindungan yang berkesan dilaksanakan, khususnya bagi mencegah kandungan yang membabitkan wanita dan kanak-kanak.
"MCMC kekal terbuka untuk libat urus dengan X Corp dan xAI LLC tertakluk kepada pematuhan yang dapat dibuktikan terhadap undang-undang negara.
"Orang awam digesa untuk melaporkan kandungan dalam talian yang memudaratkan kepada MCMC dengan segera dan, jika perlu, membuat laporan polis kepada Polis Diraja Malaysia," katanya.
Selain Malaysia, Indonesia turut menyekat sementara akses kepada Grok, alat AI milik Elon Musk yang kini disepadukan dengan platform X.
Tindakan itu dibuat selepas timbul kebimbangan tentang kandungan pornografi dan deepfake seksual yang dihasilkan oleh AI.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan