AL- FATIHAH
Kes sekeluarga maut: Faktor kewangan mungkin motif 4 disyaki dibunuh - Polis
KUANTAN, 17 Feb (Bernama) – Siasatan awal polis dalam kejadian bunuh melibatkan lima sekeluarga di kawasan perumahan Cerating Damai di sini, pagi tadi mendapati motif kejadian berkemungkinan disebabkan oleh faktor kewangan.
Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata bagaimanapun, perkara itu masih dalam siasatan lanjut polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Difahamkan, suspek tidak mempunyai rekod penyakit mental," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Mayat kesemua lima beranak itu selesai dibawa keluar dari kediaman berkenaan pada 12.45 tengah hari tadi untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat.
Dua jenazah dijangka dikebumikan hari ini di sini, manakala tiga lagi esok.
POLIS-BUNUH (MOTIF) 2 (AKHIR) KUANTAN
Sementara itu, jiran mangsa, Saripah Jaya, 60, berkata keluarga berkenaan peramah termasuk suspek yang kerap menyapa suaminya ketika berada di halaman rumah.
"Mak dia (suspek) pun selalu joging di kawasan ini … pagi tadi memang hujan lebat dan saya tidak dengar sebarang bunyi orang bergaduh atau sebagainya," katanya yang menetap di kawasan itu lebih 20 tahun.
Seorang penduduk Tengku Fakri Tengku Aziz, 41, pula berkata dia terkejut apabila kejadian terbabit berlaku di kawasan perumahan itu.
"Saya memang tidak sangka kejadian sebegini berlaku dekat dengan rumah kami … ini kali pertama kejadian macam ini berlaku di sini," katanya yang menyedari insiden itu ketika dalam perjalanan menuju ke Kemaman, Terengganu sebelum melihat orang ramai berkumpul di hadapan rumah mangsa.
Kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu melibatkan dua kanak-kanak perempuan berusia 3 dan 4 tahun, ibu bapa yang masing-masing berusia 32 dan 28 tahun yang ditemukan di dalam bilik, serta nenek mereka berumur 55 tahun yang dijumpai di ruang dapur.
Yahaya berkata lelaki itu dipercayai mencederakan isteri, ibu dan dua anaknya menggunakan senjata tajam disyaki pisau sebelum bertindak mencederakan diri sendiri dan turut maut.– BERNAMA

Tiada ulasan:
Catat Ulasan