Jumaat, 27 Februari 2026

AZAM BIN BAKI & MAFIA KORPORAT


AZAM BIN BAKI & 

 MAFIA KORPORAT


Di awal bulan Ramadan tahun 2026  nama Azam bin Baki terus menjadi sebutan. Segala jenis media -  yang baru dan yang lama terus membuat berita mengenai Azam bin Baki Ketua Suruhanjaya Pencegahan  Rasuah Malaysia ( SPRM ).

Sosok ini di lantik oleh kerajaan Muhyiddin pada 9 Mac 2020  untuk menggantikan Latheefa  Koya sebagai Ketua SPRM.

Awalnya tidak ada tik  tidak ada tok – tidak ada sohseh sohseh    atau kontroversi  tentang Azam bin Baki ini. Semua berjalan baik hingga  muncul berita tentang pemilikan saham di Bursa Saham Malaysia.

Berita melaporkan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam bin Baki, didapati memiliki saham bernilai ratusan ribu ringgit dalam sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, sekali gus melanggar arahan pekeliling kerajaan yang melarang penjawat awam memiliki saham melebihi RM100,000.

Berita menjadi heboh dan hangat bila mana Himpunan Tangkap Azam Baki  telah di adakan pada 22 Januari 2022  di hadapan Parlimen. 

Demo  ini ialah jawapan kepada penolakan Parlimen untuk membincang kes  saham Azam bin Baki.  Demo ini di hadiri oleh  Anwar bin Ibrahim Ketua Pembangkang ketika itu. Turut hadir ialah Maria Chin  Pengerusi Bersih, bekas Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah dan bekas Menteri Pertahanan Mat Sabu.

Dalam demo depan Parlimen ini  Anwar bin Ibrahim telah menyelar  kerajaan Muhyiddin kerana  menolak memorandum kes saham Azam bin Baki untuk di bincangkan dalam Parlimen.

Kemudian kempen Tangkap Azam Baki  reda. Ketua SPRM ini memberi penjelasan bahawa saham itu dibeli atas  nama adiknya bukan milik dirinya.  Tapi rasa tidak  puas hati terhadap Azam bin Baki berterusan. Khalas.

Bilamana Anwar bin Ibrahim menjadi Perdana Menteri selepas PRU15  orang ramai  terutama penyokong Gerakan Reformasi   dan pengundi Pakatan Harapan beranggap bahawa tugas   Azam bin Baki ini  akan di tamatkan.  Harapan rakyat  meleset. Azam bin Baki tidak  berhentikan oleh Anwar bin Ibrahim yang  menjadi Perdana Menteri baru.

Tertiba pada 10 Februari 2026 nama Azam bin Baki kembali menggemparkan Malaysia. Negara menjadi heboh.  Kali ini akhbar Bloomberg – media dari New York – melaporkan sekali lagi kes saham milik Azam bin Baki.

Laporan Bloomberg ini berasaskan  dokumen syarikat yang menunjukkan Azam bin Baki , dalam tempoh jawatannya sebagai ketua SPRM memegang 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd setakat 3 Februari tahun lalu, dengan nilai semasa hampir RM800,000.

Selain melepasi nilai maksimum saham yang dibenarkan kepada penjawat awam berdasarkan arahan pekeliling kerajaan pada 2024, Azam bin Baki  juga berkemungkinan gagal mematuhi arahan mengisytiharkan aset sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun. Kesalahan ini akan menjemput  siasatan SPRM terhadap individu pegawai kerajaan dari jabatan  lain. Jeng jeng jeng.

Kali ini semakin ramai rakyat mengenali watak Pak Sheikh a.k.a Anwar bin Ibrahim. Bukan sahaja Azam bin Baki telah disambung kontrak sebanyak tiga kali  malah Anwar bin Ibrahim telah mempertahankan  salah laku Azam bin Baki.

Berita laporan dari  Bloomberg ini  telah menjemput wartawan  tempatan untuk bertanya duduk perkara Azam bin Baki kepada Perdana Menteri.

Pada 12 Februari 2026 Sinar Harian telah melaporkan jawapan Anwar bin Ibrahim bila di tanya apakah   Azam bin Baki akan di rehatkan : “Ini satu penyakit. Orang buat kerja, you (awak) maki pasal apa? “

Ini pandangan Anwar bin Ibrahim  yang jelas. Nampaknya sesiapa  yang mahu Azam bin Baki  direhatkan atau mempersoalkan kedudukan Ketua SPRM ini dianggap sakit atau berpenyakit.

Selang dua hari dari  jawapan : ‘ Ini  satu penyakit...’  akhbar Bloomberg mengeluarkan lagi berita yang lebih mengejutkan. Kali ini Bloomberg membocorkan bagaimana wujud Mafia Korporat dalam lembaga SPRM.

Bloomberg secara terperinci menggambarkan  bagaimana pistol telah ditunjukkan dalam perundingan jual beli saham. Contohnya  seorang Mamat hendak beli saham dari  Syarikat Garam. Tapi Tuan Pemilik Syarikat Garam enggan menjualkan sahamnya. Maka Mamat ini  mengeluarkan pistol mengancam agar saham itu di jual.

Meletakan pistol di atas meja adalah  taktik kepala Mafia Don Corleone  mengikut   novel Mario Puzo yang diterbitkan dalam tahun 1969. Novel The Godfather ini menjadi filem lakonan  Marlon Brando   sebagai Don Corleone dalam tahun 1972.

Dari budaya Mafia Itali  ini  muncul di Malaysia  budaya Mafia Korporat. Mengikut Bloomberg Mafia Korporat ini bergerak dengan pengetahuan Azam bin Baki Ketua SPRM. Justeru implikasinya  lembaga SPRM terlibat.

Tidak cukup dengan laporan berita Bloomberg Tv   telah mengeluarkan satu dokumentari  bertajuk :
Inside Malaysia’s Controversial Anti-Corruption Commission | Bloomberg Investigates.

Dokumentari 24 minit ini  secara terbuka dan demokratik boleh d tonton melalui YouTube. Dokumentari ini  memperkuatkan lagi  hujah dan bukti hasil siasatan  Bloomberg  mengenai salah laku dalam SPRM.
 
Hasilnya Mafia Korporat ini  terus menjadi perbualan nasional – sembang negara.  Di Warung Tom Yam, di kedai Mamak  atau di  Cafe Bangsar kesah dan berita Mafia Korporat ini menjadi topik perbualan.

Tik Tok, Instagram, Blog,  X dan segala jenis media sosial menjadi meriah dan riuh rendah heboh  berlabun tentang Mafia Korporat dan SPRM. Tidak dapat tidak nama Azam bin Baki terjerut sama.

Maka anak-anak muda yang cekap teknologi Internet  telah   mengumpul kembali ucapan Anwar bin Ibrahim pada tahun 2022 yang mahu Azam bin Baki di dakwa. 

Bila ucapan Anwar Ibrahim tahun 2022 dilapikkan dengan ucapan tahun 2026 maka pembohongan Anwar bin Ibrahim semakin jelas. Bangkai biawak  yang busuk berulat  tidak sempat  di tanamkan di Bukit Tagar.

Kumpulan  yang tidak menyokong Anwar bin Ibrahim berkenduri mengutuk Azam bin Baki. Pelbagai NGO memberi pandangan termasuk Majlis Peguam. NGO badan peguam ini  bersuara untuk memperkukuhkan lagi kes Azam bin Baki wajib di dakwa.

Majlis Peguam  dalam kenyataan menyatakan rasa kebimbangan orang ramai terhadap Mafia Korporat , Azam bin Baki dan SPRM.

Mengikut Majlis Peguam  kebimbangan melibatkan Azam bin Baki Ketua badan antirasuah yang  utama. Isu itu melangkaui personaliti.  Ia menyentuh secara langsung keyakinan orang ramai terhadap integriti institusi.

Kes Mafia Korporat dan Azam bin Baki ini menjadi  semakan berat.

Dalam Parlimen  seorang YB dari Kota Melaka menuntut Azam bin Baki di pecat dengan segera. YB dari Melaka ini mengancam akan menarik partinya DAP keluar meninggalkan kerajaan jika Azam bin Baki tidak di dakwa.

Ucapan YB Kota Melaka ini disambut oleh Anthony Loke dan Gobind Singh.  Loke ialah Setiausaha DAP dan Gobind ialah Pengerusi DAP. Dua sosok ini adalah pemimpin kanan parti DAP.

Kedua-Kedua pemimpin DAP ini menuntut ditubuhkan Siasatan DiRaja mengenai Korporat Mafia dalam SPRM dan juga peranan Azam bin Baki.

Secara resmi DAP menuntut Anwar bin Ibrahim bertindak untuk menubuhkan  Siasatan Di Raja. Tetapi DAP sendiri  adalah   sebahagian dari Kerajaan  Madani. Justeru apakah saranan YB dari Kota Melaka itu akan di ambil pusing oleh Anwar bin Ibrahim.

Awas ! Berwaspada bila  menuntut dan mendesak. Di belakang desakkan dan tuntutan ini ada  perkara bahaya yang menakutkan. Perkara ini ialah desakan agar Azam bin Baki meletak jawatan. Atau desakan agar Azam bin Baki di rehatkan.  Ini bahaya besar.

Selama heboh  Mafia Korporat  dan Siasatan Di Raja ini di tuntut Anwar bin  Ibrahim tidak bersuara.  Untuk sesiapa yang mengenal watak Anwar bin Ibrahim  sikap ini  menunjukkan ada buah didalam coli.  

Anwar bin  Ibrahim  tanpa segan silu akan menghumbankan Azam bin Baki ke dalam gaung. Menghumbankan Azam bin Baki ke dalam gaung adalah cara untuk menyelamatkan dirinya sendiri.

Kemudian Anwar bin Ibrahim akan umumkan kontrak Azam bin baki tidak disambung. Semua akan dilihat  beres.  Kemarahan terhadap Azam bin Baki kendur. Anwar bin Ibrahim di lihat suci murni. Semua selesai.

Justeru jangan tuntut ...di ulang sekali lagi .. jangan tuntut Azam bin Baki letak jawatan atau di rehatkan. Ini bahaya. Ini perangkap untuk menyelamatkan Azam bin Baki dan   Anwar bin Ibrahim. 

Tuntutan yang tepat ialah dakwa Azam bin Baki ketika dia masih lagi  berkuasa sebagai Ketua SPRM. Ini untuk memastikan jaringan Mafia Korporat  yang wujud  bersama SPRM akan di dakwa sama. 

Hadiah  Hari Raya tahun ini kepada semua  warga Malaysia  ialah melihat Azam bin Baki memakai baju oren bersama-kuncu-kuncu  gari bergari  di bawa ke mahkamah.

Kita semua yang menyuarakan pendapat tentang salah laku Azam bin Baki terbukti  tidak sakit Atau berpenyakit  seperti tuduhan Anwar bin Ibrahim.  Amin. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM POTAL
MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/769052









Tiada ulasan: