Selasa, 17 Mac 2026

HANTAR TRUMP KE MEDAN PERANG - SATU CADANGAN


ERIC CANTONA

BERJIWA BESAR

AMIN

WAJIB MEMIMPIN

NEGARA

KHALAS


"Presiden yang mulakan perang perlu dihantar bertempur di barisan hadapan" - Eric Cantona


LONDON: Bekas bintang Manchester United, Eric Cantona, mencadangkan satu idea radikal bagi menghalang peperangan iaitu mana-mana presiden yang memulakan konflik, menjadi orang pertama yang bertempur di barisan hadapan.

Bekas pemain antarabangsa Perancis itu menyuarakan pandangan berkenaan ketika muncul dalam rancangan bual bicara Clique di saluran Canal+, minggu lalu di mana beliau berkongsi pendapat mengenai ketegangan global yang semakin meningkat serta kos kemanusiaan akibat konflik bersenjata.

Cantona mencadangkan agar satu undang-undang antarabangsa diwujudkan bagi memastikan pemimpin politik dipertanggungjawabkan secara langsung terhadap peperangan yang mereka lancarkan.

"Saya mahu wujudkan satu undang-undang. Kita minta mahkamah antarabangsa mewujudkan undang-undang yang mengatakan jika seorang presiden memutuskan untuk memulakan perang, dia harus menjadi orang pertama berada di barisan hadapan, bukannya menghantar remaja berusia 18 tahun.

"Jika begitu, saya fikir akan ada lebih sedikit peperangan," katanya.

Dalam wawancara itu, Cantona turut mengkritik keras cara pemimpin politik membuat keputusan mengenai perang sedangkan mereka sendiri berada jauh dari medan pertempuran.

"Mereka semua berada di pejabat yang besar, kemudian kita hantar remaja 18 tahun untuk mati.

"Dari rumah mereka sendiri, sering kali dari pihak yang ditindas. Tetapi di pihak yang satu lagi, ada yang belum pun berusia 18 tahun — ada yang baru berumur tiga atau dua tahun. Orang awam yang tidak bersalah," katanya.

Legenda Manchester United itu berpendapat bahawa jika pemimpin terpaksa mempertaruhkan nyawa sendiri, jumlah konflik di seluruh dunia mungkin akan berkurang.

"Akan ada lebih sedikit peperangan. Kerana tidak ramai orang yang benar-benar berani," katanya.

Cantona juga menyebut Gustavo Petro sebagai contoh jarang ditemui bagi seorang pemimpin yang beliau hormati, merujuk kepada latar belakang presiden Colombia itu sebagai bekas pejuang gerila Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC) serta kesediaannya untuk mengangkat senjata jika perlu.

"Saya suka presiden Colombia itu. Dia bekas FARC dan pernah berjanji tidak akan menyentuh senjata lagi. Tetapi dia berkata, 'Jika Donald Trump datang ke sini, biarkan dia datang. Saya akan angkat senjata semula.'

"Jika ada pemimpin seperti itu, tidak mengapa. Tetapi kebanyakan mereka berada di pejabat sambil menghantar orang lain," katanya.

Kenyataan Cantona itu muncul ketika ketegangan geopolitik global semakin meningkat, khususnya berkaitan perang yang semakin memuncak melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran yang mendominasi tajuk berita antarabangsa sejak dua minggu lalu.

Cantona juga sering menjadi antara tokoh sukan yang lantang bersuara mengenai isu Palestin.

Beliau kerap menggunakan platformnya untuk menyorot apa yang beliau anggap sebagai "standard berganda" dalam dunia sukan dan politik antarabangsa. - Agensi


Tiada ulasan: