SOSOK INI
PENYOKONG KUAT
MAGA TRUMP
AMIN
SOSOK INI
KETUA PENGARAH
INTEL AMERIKA
AMIN
BEKAS CALON
SENATOR PARTI
REPUBLIKAN
AMIN
KINI SEDAR
TRUMP SEDANG
IKUT CAKAP ISRAEL
KHALAS
Tak sokong serang Iran, Pengarah Pusat Anti-Keganasan AS letak jawatan
WASHINGTON – Seorang pegawai kanan anti-keganasan Amerika Syarikat meletakkan jawatan pada Selasa sebagai bantahan terhadap perang AS-Israel menentang Iran sambil menegaskan Republik Islam itu tidak menimbulkan ancaman segera kepada Amerika Syarikat.
“Saya tidak sampai hati untuk menyokong perang yang berlaku di Iran kerana ia tidak menimbulkan ancaman segera kepada negara kita.
“Dan jelas bahawa AS memulakan perang ini akibat tekanan dari Israel dan pelobi Amerikanya yang berpengaruh,” kata Joseph Kent dalam surat peletakan jawatan beliau kepada Presiden Donald Trump.
Pengarah Pusat Anti-Keganasan Kebangsaan (NCTC) berusia 45 tahun itu merupakan bekas pasukan khas Green Beret yang pernah menjalani beberapa penugasan tempur.
Beliau dilantik mengetuai NCTC oleh Trump, merupakan pegawai kanan pertama AS yang meletakkan jawatan daripada pentadbiran beliau sebagai bantahan terhadap perang dengan Iran.
Trump, ketika bercakap kepada wartawan di Pejabat Oval, menuduh Kent sebagai “sangat lemah dalam soal keselamatan” dan berkata ia adalah “satu perkara yang baik dia telah berhenti kerja.’
Kent turut memuat naik surat peletakan jawatannya yang dihantar kepada Presiden Donald Trump di platform X.
Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt dalam kenyataan menafikan dakwaan Kent dan menyifatkannya sebagai dakwaan palsu.
Beliau turut menyifatkan dakwaan Kent dalam surat peletakan jawatannya bahawa keputusan AS berperang dengan Iran dibuat ‘berdasarkan pengaruh pihak lain’ sebagai menghina dan menggelikan.
“Seperti yang telah dinyatakan dengan jelas dan tegas oleh Presiden Trump, beliau mempunyai bukti kukuh dan meyakinkan bahawa Iran akan menyerang Amerika Syarikat terlebih dahulu.
“Presiden Trump akhirnya membuat keputusan bahawa serangan bersama dengan Israel akan mengurangkan risiko terhadap nyawa rakyat Amerika yang mungkin timbul daripada serangan awal oleh rejim Iran yang dianggap pengganas serta menangani ancaman segera terhadap kepentingan keselamatan negara Amerika,” kata Leavitt.
Isteri Kent, Shannon, juga pernah berkhidmat dalam tentera AS dan terbunuh dalam satu serangan bom berani mati di Syria pada 2019.
“Sebagai suami ‘Gold Star’ yang kehilangan isteri tercinta saya Shannon dalam perang yang didorong oleh Israel, saya tidak dapat menyokong menghantar generasi seterusnya untuk berjuang dan mati dalam perang yang tidak memberi manfaat kepada rakyat Amerika mahupun membenarkan pengorbanan nyawa mereka,” tulis Kent.
‘Kempen maklumat palsu’
Sebagai ketua NCTC, Kent bekerja di bawah Tulsi Gabbard, menganalisis dan menyelaras respons AS terhadap ancaman keganasan serta berkhidmat sebagai penasihat utama anti-keganasan kepada presiden.
“Sehingga Jun 2025, anda memahami bahawa peperangan di Timur Tengah adalah satu perangkap yang meragut nyawa berharga patriot kita dan menghakis kekayaan serta kemakmuran negara,” kata Kent dalam suratnya kepada Trump, yang dimuat naik di X.
Kent menuduh “pegawai kanan Israel dan anggota berpengaruh media Amerika” terlibat dalam kempen maklumat palsu yang “menyemai sentimen pro-perang bagi menggalakkan perang dengan Iran.”
“Gelembung gema ini digunakan untuk memperdayakan anda supaya percaya bahawa Iran menimbulkan ancaman segera kepada Amerika Syarikat dan bahawa anda perlu menyerang sekarang,” katanya.
“Ini adalah satu penipuan dan merupakan taktik sama yang digunakan Israel untuk menarik kita ke dalam perang Iraq yang membawa bencana,” kata Kent.
“Saya tidak dapat menyokong menghantar generasi seterusnya untuk berjuang dan mati dalam perang yang tidak memberi manfaat kepada rakyat Amerika mahupun membenarkan pengorbanan nyawa mereka,” tambahnya.
Senator Mark Warner, Demokrat paling kanan dalam Jawatankuasa Perisikan Senat, berkata rekod Kent adalah “amat membimbangkan.”
“Namun dalam hal ini, beliau betul: tiada bukti yang boleh dipercayai mengenai ancaman segera daripada Iran yang boleh membenarkan Amerika Syarikat tergesa-gesa memasuki satu lagi perang pilihan di Timur Tengah,” kata Warner.
Kent telah dua kali bertanding tanpa berjaya — pada 2022 dan 2024 — sebagai calon Republikan yang disokong Trump bagi kerusi Dewan Perwakilan AS dari negeri Washington. – AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan