AL- FATIHAH
Media rasmi Iran
sahkan kematian
Ayatollah
Ali Khamenei
TEHRAN – Iran berdepan detik paling getir dalam sejarah politik moden republik itu apabila beberapa media rasmi negara berkenaan melaporkan Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei, telah meninggal dunia awal pagi Ahad.
Saluran penyiaran milik kerajaan, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB), mengumumkan bahawa ‘Pemimpin Agung Iran telah syahid’ sekaligus mengesahkan spekulasi sejak awal pagi ini.
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Israel mendakwa Khamenei maut dalam serangan bersama yang dilancarkan ke atas negara itu.
Washington dan Tel Aviv mendakwa Khamenei terbunuh dalam operasi ketenteraan mereka, namun pihak berkuasa Tehran menafikan kenyataan tersebut dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada perang psikologi terhadap republik Islam itu.
Pengumuman rasmi oleh media negara kini menandakan perubahan besar dalam naratif sebelum ini, walaupun butiran terperinci mengenai punca sebenar kematian masih belum diperincikan oleh kerajaan Iran.
Setakat ini juga, tiada kenyataan lanjut berhubung proses peralihan kepimpinan atau siapa yang bakal menggantikan Khamenei sebagai Pemimpin Tertinggi.
Kematian tokoh yang menjadi figura paling berpengaruh dalam struktur politik dan keagamaan Iran itu dijangka mencetuskan implikasi mendalam, bukan sahaja terhadap kestabilan dalaman negara, malah keseimbangan geopolitik di Asia Barat yang sememangnya rapuh.
Perkembangan ini berpotensi mengubah dinamik kuasa serantau, khususnya dalam hubungan tegang antara Iran dengan Amerika Syarikat serta Israel. -MalaysiaGazette


Tiada ulasan:
Catat Ulasan