Selasa, 21 Julai 2026

HAK ASASI HAIWAN


WARGA

MAKIN RAMAI

SEDAR BUKAN

SAJA HAK ASASI

MANUSIA

AMIN

HAK ASASI

HAIWAN PUN

DIPERJUANGKAN

AMIN


NGO kebajikan haiwan gesa reformasi, bukan sekadar bagi dana

Kumpulan kebajikan haiwan menyambut baik kesediaan kerajaan mempertimbangkan penubuhan dana khusus bagi pengurusan haiwan terbiar namun memberi amaran bantuan kewangan semata-mata tidak akan menyelesaikan krisis haiwan terbiar di negara ini.

Reaksi itu menyusul sehari selepas Setiausaha Politik di Pejabat Perdana Menteri Azman Abidin (gambar bawah) berkata kerajaan sedang mempertimbangkan dana khas dan pengecualian cukai bagi menambah baik pengurusan haiwan terbiar serta meringankan beban pusat perlindungan haiwan dan NGO.

Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF), S Shashi Kumar berkata walaupun dana khusus boleh meringankan beban kewangan kumpulan kebajikan haiwan namun langkah itu tidak banyak memberi kesan sekiranya kelompongan yang berlarutan dalam aspek penguatkuasaan dan dasar terus tidak ditangani.

“Malaysia tidak memerlukan pengumuman atau janji sementara. Malaysia memerlukan kemahuan politik yang tulen dan reformasi struktur jangka panjang.

“Ini termasuk memperkukuh Akta Kebajikan Haiwan 2015, melaksanakan program Tangkap-Mandul-Vaksin-Pulangkan-Urus (TNVRM) secara berperikemanusiaan di seluruh negara, mengawal selia fi penebusan yang tidak munasabah, memastikan pihak berkuasa tempatan lebih bertanggungjawab serta mewujudkan kerjasama yang telus dan bermakna dengan pihak berkepentingan,” katanya kepada Malaysiakini.

Selain itu, Shashi mengingatkan bantuan kewangan semata-mata tidak memadai sekiranya penyelamat haiwan dan NGO terus berdepan fi penebusan tinggi yang dikenakan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan semula haiwan yang ditangkap.

Dia sendiri pernah berdepan isu itu pada April lalu apabila dikenakan denda RM2,000 oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membebaskan seekor anjing terbiar yang ditangkap pihak berkuasa tempatan.

“Jika NGO, penyelamat dan pemberi makan terus dibebani fi penebusan yang keterlaluan, sebahagian besar daripada dana kerajaan hanya akan mengalir semula kepada pihak berkuasa tempatan. Itu bukan penyelesaian yang mampan,” tambahnya.

Sementara itu, penyelamat haiwan Shima Aris turut menggesa penguatkuasaan lebih tegas sambil menekankan cadangan kerajaan menyediakan dana gagal menangani punca sebenar masalah itu.

Dia berkata dana tambahan lebih baik digunakan untuk memperkukuh undang-undang kebajikan haiwan, menambah baik langkah penguatkuasaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta menubuhkan pasukan petugas khas polis kebajikan haiwan bagi menyiasat kes kekejaman dan membanteras pembiak baka haram.

“Pencegahan dan penguatkuasaan akan menghasilkan perubahan berkekalan,” katanya kepada Malaysiakini.

Shima turut menyenaraikan tindakan tidak bertanggungjawab membuang haiwan peliharaan, pembiakan haram serta amalan buruk segelintir pemberi makan dan penyelamat sebagai antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan populasi haiwan terbiar.

Dia berkata sesetengah individu berulang kali menebus anjing dari pusat tahanan haiwan pihak berkuasa tempatan tetapi kemudian melepaskannya di kawasan kejiranan lain tanpa memandulkan haiwan berkenaan, sekali gus sekadar memindahkan masalah itu ke tempat lain.

“Kita memerlukan penyelesaian yang menangani punca masalah — pemberian makanan secara bertanggungjawab, pemandulan mandatori, penguatkuasaan terhadap tindakan membuang haiwan dan pembiakan haram serta pengurusan haiwan terbiar yang betul.

“Jika tidak, semua pihak akan rugi, terutama anjing-anjing itu,” tambahnya.

Bagaimanapun, Shashi berkata reformasi yang dicadangkan itu bukan perkara baru sambil menegaskan NGO kebajikan haiwan sudah memperjuangkannya sejak bertahun-tahun lalu.

Sejak pembunuhan kejam seekor anjing bernama Kopi pada Oktober 2024, Shashi berkata GHRF dan NGO lain sudah menganjurkan pertemuan dengan pelbagai pihak berkepentingan serta pegawai kerajaan bagi mencadangkan penyelesaian yang berperikemanusiaan dan mampan.

Usaha itu termasuk demonstrasi aman, penyerahan memorandum, kertas kerja serta cadangan belanjawan bagi menangani populasi haiwan terbiar di Malaysia.

“Walaupun segala usaha ini sudah dilakukan, tiada perubahan bermakna berlaku.

“Jawapan yang berulang kali kami terima ialah kerajaan tidak mempunyai peruntukan dan dana untuk melaksanakan cadangan ini.

“Lebih mengecewakan, kami tidak melihat komitmen ikhlas kerajaan untuk benar-benar berunding dengan kami atau mempertimbangkan secara serius cadangan yang dikemukakan pihak yang sudah bertahun-tahun bekerja di lapangan,” katanya.

Tiada ulasan: