Khamis, 23 Februari 2012

KENYATAAN RESMI PKR




AHAD DI KUANTAN





MEMPERBAIKI SISTEM SEDIA ADA LEBIH BAIK DARIPADA CADANGAN SATU CARE


Pihak kerajaan tersilap sekiranya mereka memikirkan cadangan skim 1Care merupakan penyelesaian terbaik bagi mengatasi cabaran yang membelenggu sistem kesihatan Malaysia. Menerusi skim ini, rakyat berserta pekerja dan kerajaan akan menyumbang kepada skim pembiayaan kesihatan di mana pihak hospital kerajaan dan swasta akan diintegrasikan.

Di dalam kertas konsep skim ini yang dibentangkan pada 2009, ‘1Care for 1Malaysia: Restructuring the Malaysian Health System’, kerajaan mendakwa dasar baru diperlukan berikutan sistem penyampaian perkhidmatan dan pembiayaan kesihatan yang tidak mapan di negara kita.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan agar perbelanjaan kesihatan kerajaan sebagai peratusan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sepatutnya pada kadar 5 hingga 6 peratus. Jumlah perbelanjaan kesihatan Malaysia pada 2008 merupakan 4.8 peratus namun perbelanjaan kerajaan hanyalah 2.2 peratus. Pada 2004, buat pertama kalinya perbelanjaan kesihatan swasta sebagai peratus KDNK mengatasi perbelanjaan kesihatan kerajaan.

Cadangan bahawa sekitar 10 peratus gaji pekerja dipotong untuk disumbang ke skim pembiayaan kesihatan akan menambah beban yang dipikul rakyat. Pada masa ini, pekerja dibelenggu gaji yang rendah dan berhadapan dengan kos sara hidup yang meningkat. Ditambah pula dengan gejala rasuah dan ketirisan di dalam perbelanjaan kerajaan (termasuk kesihatan) kerajaan seharusnya dapat menjangka kemarahan rakyat terhadap cadangan 1Care ini.

Kami tidak mempertikaikan bahawa wujud cabaran di dalam skim kesihatan negara yang sedia ada. Jurang antara hospital kerajaan dan swasta semakin melebar. Keperluan untuk mengurangkan penghijrahan kepakaran daripada hospital kerajaan ke hospital swasta tidak boleh dinafikan. Rakyat Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada bayaran terus daripada kcek mereka bagi rawatan perubatan.

Pun begitu sudah wujud begitu banyak usaha penstrukturan sebelum ini yang dibuat tanpa proses yang betul dan telus yang berakhir dengan masalah yang lebih besar untuk rakyat. Hospital-hospital kerajaan kita menjadi mangsa proses penswastaan perkhidmatan asas yang meningkatkan keuntungan untuk syarikat-syarikat kroni namun merugikan para pembayar cukai dan pesakit. Laporan Kesihatan Sedunia 2010 mengenai Pembiayaan Sistem Kesihatan oleh WHO jelas menyebut antara 20 hingga 40 peratus perbelanjaan kesihatan dibazirkan berikutan kekurangan kecekapan sistem. 1Care bermakna akhirnya rakyat dan kerajaan akan memberi subsidi kepada hospital swasta seperti mana kolej swasta hari ini disubsidikan oleh skim PTPTN.

Kami ingin menegaskan bahawa kami bukannya menentang hospital swasta. Malah, sektor kesihatan swasta menyediakan perkhidmatan yang berguna bagi rakyat Malaysia yang mampu dan sewajarnya dibenarkan meneruskan perkhidmatan tersebut. Walaubagaimanapun integrasi yang disyorkan oleh 1Care akan menyekat hak ini dan tidak mencapai piawai penyeragaman kualiti.

Kami menggesa kerajaan untuk tampil kehadapan secara telus tentang peringkat mana perancangan 1Care buat masa ini. Terdapat terlalu banyak jawapan bercanggah yang tidak memberikan keyakinan kepada semua pihak terbabit di dalam suatu perubahan besar sistem kesihatan negara.

Sebagaimana komitmen kami di dalam buku jingga, Pakatan Rakyat berjanji untuk memelihara kesihatan sebagai satu hak untuk semua rakyat Malaysia. Kami percaya penyelasaiannya bukanlah 1Care, sebaliknya peningkatan peratusan perbelanjaan kerajaan untuk kesihatan dalam tempoh beberapa tahun bagi melebarkan kekuatan infrastruktur asas kesihatan yang ada di Malaysia hari ini.

Pakatan Rakyat akan membentuk Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan, meningkatan pendapatan pekerja sektor kesihatan, menjamin perlantikan berasaskan kelayakan, meastikan perbekalan yang telus dan mengkaji semula perkhidmatan yang diswastakan di hospital-hospital kerajaan.

DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
PRESIDEN
PARTI KEADILAN RAKYAT



AHAD PASTI DI KUANTAN



3 ulasan:

din glamour berkata...

setuju sangat dengan kenyataan presiden pkr.
sistem yang sedia ada baik
cuma orang yang melaksana sistem itu cabuk.
kapitalis sedang maharajalela
semua nak untung akhirnya rakyat derita..
rakyat perlu sedar sistem kapitalis ini tidak menjaga kebajikan rakyat.
semua jadi milik persendirian.. orang yang kaya.
perkara perkara asas seperti pantai, perumahan dan kenderaan sudah menjadi hak orang yang kaya...

Tanpa Nama berkata...

setujuuuuuu WAWI REFORMASI!!!

Hamidi Fizie Bin Ahmad berkata...

aku setuju ngan Dr wan azizah kerana dia memang sahih seorang doktor..bukan macam isu lynas,tok ketua kampung,jkkkk bercakap pasal kilang lynas ni selamat..appara..kah..kah..kah..