.

Khamis, 1 Disember 2016

BEBASKAN TAHANAN ORANG ASAL






Bebaskan Segera 47 Orang Asal dan Pertahan Hak Mereka Di Bawah Perlembagaan Malaysia

Kami amat marah dan kecewa dengan penahanan 47 Masyarakat Orang Asal susulan tindakan berani mereka membina sekatan balak bagi mempertahankan hak tanah adat daripada dicerobohi dimana ianya merupakan sumber utama makanan dan mata pencarian.

47 Orang Asal dan keluarga mereka bukan sahaja kehilangan tempat perlindungan, malah kehilangan hak ke atas tanah dan sumber alam sepertimana yang termaktub dalam Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Hak Orang Asal (UNDRIP).

UNDRIP merupakan “piawai minimum untuk mempertahankan kewujudan, martabat dan kesejahteraan Orang Asal sedunia” bagi memastikan supaya kesemua 370 juta Orang Asal sedunia tidak akan berhadapan dengan diskriminasi ataupun eksploitasi.

Walaupun hampir 10 tahun Malaysia mengundi untuk mempersetujui pengesahan UNDRIP dalam Perhimpunan Agung PBB pada 13 September 2007, hak Orang Asal ke atas tanah dan sumber masih dinafikan.

Perkara 8(5)(C) Perlembagaan Persekutuan, secara tuntas memperuntukkan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk menjaga hal ehwal Orang Asal. Begitu juga di dalam Akta 134, tahun 1954 hak mereka mesti dilindungi khususnya terhadap tanah yang diduduki.

Orang Asal adalah antara kumpulan masyarakat yang termiskin dan minoriti di dalam negara. Hak mereka ke atas tanah dan sumber seharusnya dihormati dan dilindungi bagi meningkatkan mutu kehidupan mereka. Pembangunan mapan juga mesti diamalkan bagi melindungi alam semulajadi daripada kemusnahan.

Ini adalah antara prinsip perjuangan Parti Keadilan Rakyat dan telahpun diterjemahkan dalam bentuk program dan dasar di Selangor, antaranya Sambutan Hari Orang Asal Sedunia dan pembentukan Badan Bertindak Tanah Orang Asal Selangor (BBTOAS).

Kami mendesak Anggota Dewan Negara mewakili Orang Asal, YB Senator Isa Ab Hamid dan Menteri Kemajuan Luar Bandar, Ismail Sabri Bin Yaakob untuk menyatakan pendirian mereka terhadap penahanan Masyarakat Orang Asal ini.

Kami juga menyeru Kerajaan Negeri Kelantan mencari penyelesaian secara muafakat dalam perkara ini supaya masyarakat Orang Asal di Gua Musang tidak terus hidup dalam kesusahan dan terbiar. Kami juga berpandangan sudah sampai masanya YBM Ahli Parlimen Gua Musang memainkan peranan yang proaktif di dalam merungkai permasalahan ini.

Kepedulian rakyat dan rasa kemanusiaan seharusnya menjadi prinsip asas mana-mana pentadbiran bagi memastikan rakyat hidup saksama, sejahtera dan selamat.

SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat |
Anggota Dewan Rakyat








----------------

2 ulasan:

panglimo potaseh berkata...

Ahad ni Mappadulung dan Lebai Sotong bersatu berdemo untuk membela Puak Rohinga .. dengar kabar hamlau dua ekor ni akan melumur bedak sejuk Myanmar kat pipi memasing. Puak Asli Gua Musang sape lak nak bela.

Tanpa Nama berkata...

Tolong bagi bantuan DUIT lagi bagus kan

Orang orang tuh nak makan minum jugak

Sedekah lah 300 rengget tuk satu keluarga dapat juga anak anak tidor kenyang

Tak banyak pun....

Itu lagi penting kalau nak bantu