Ahad, 24 Ogos 2008

DI PERMATANG PAUH 35 TAHUN KEMUDIAN

Dia berasal dari Kulim, kini tinggal di Butterworth. Dulu dia bersekolah di Penang Free dan tinggal di Kolej ke-4 Universiti Malaya. Saya tinggal di Kolej ke-5. Dia belajar Ilmu Alam. Saya belajar Sejarah. Dia lulus berijazah, saya pula melarikan diri dari UM untuk membuat sejarah. Ini 35 tahun dahulu.

Semuanya berlaku dengan tidak sengaja. Hujung minggu ini kami bertemu kembali di Permatang Pauh.

Bila bersalaman di hadapan rumah tumpangan, saya teringat kembali bagaimana kami bertemu ketika kami 'freshie' di Universiti Malaya pada bulan Mei 1971. Kolej ke-4 dan Kolej ke-5 'bermusuhan' bukan hanya waktu orientasi malah terus 'bermusuhan' dalam hal sukan sepanjang tahun.

Kolej ke-4 memiliki sesuatu yang tidak ada di Kolej ke-5 – siswi bergetah. Dalam hal mencari kekasih kami di Kolej ke-5 gagal. Tetapi Kolej ke-5 adalah yang terbaik di UM dalam hal sukan dan politik.

Kali ini kami di Permatang Pauh tidak lagi 'bermusuh'. Tidak ada apa yang kami rebutkan.

Saya tidak akan memberikan namanya di sini kerana dia telah membelot. Membelot kerana dia telah mula bersimpati dengan PKR. Ini tidak seharusnya dilakukan kerana dia berjawatan Guru Besar – orang kerajaan.

Kini dia dan isterinya telah pencen. Mereka mempunyai empat orang cahaya mata - semua anak gadis. Seorang anak gadisnya mati dilanggar lori. Tiga orang yang lain tidak lagi tinggal di rumah. Lalu dia bercerita betapa hidup ini telah berubah. Satu ketika dahulu dia sering berebut dengan anak-anak untuk menonton tv. Kini dia sering menelefon anak-anak meminta mereka pulang bercuti.

Dua susuk pencen, kini kesunyian. Untuk berlibur dia memelihara berbelas-belas ekor kucing. Lalu kami bercerita hal kucing. Saya hanya memiliki tiga ekor kucing – Curvey, Mami dan Siti. Dia bertanya hal Ramdan – anjing saya – yang telah berpindah rumah. Dia bertanya kenapa kucing saya bernama Siti – lalu saya terangkan kucing saya ini mukanya sama seperti muka Siti Nuthaliza. Lalu kami ketawa bersama.

Kami ke Sungai Petani kerana saya memerlukan internet. Lalu dia memandu kerana dia tahu selok belok daerah ini. Sambil saya 'online' sambil kami berlabun. Dia minum teh. Saya minum kopi o kosong. Kemudian kami makan bubur labu.

Bayangkan betapa hidup ini telah berlalu.

Selesai di internet cafe kami beredar ke Permatang Pauh. Dia tahu selok belok semua jalan-jalan di mukim ini. Halatuju kami ialah mencari kedai Gulai Itik. Dia kenal betul dengan kedai ini. Malah dia selalu makan di sana. Sayang, kedai ini masih bercuti.

Kami beredar dan merayau-rayau melihat bendera, poster dan bilik-bilik gerakan. Cerita kami terputus-putus.Tidak teratur. Kami tertanya dan menyoal - apa terjadi kepada si anu dan si anu. Apa yang dibuat oleh si dia dan si dia.

Di dalam kereta tiba-tiba anak gadisnya menelefon dari rumah. Anak gadisnya bertanyakan di mana letaknya 'sikat kucing' kerana kucing-kucing ini perlu di sikat untuk dimanjakan. Lalu saya teringat kepada 3 ekor kucing saya yang hampir setahun tidak mandi.

Kami berhenti di warong yang ada menjual popiah. Sekali lagi kami kecewa. Kedai ini juga ditutup. Akhirnya kami singgah di sebuah warung. Saya membeli cucuk-cucuk buah untuk dijadikan pembuka selera. Dia meminta mee goreng dan kuey teow. Saya makan mee campur bihun. Enak sungguh kerana kami lapar.

Hari semakin gelap. Permatang Pauh semakin sibuk. Dia ingin pulang. Lalu kami mengucap selamat tinggal. Jika tidak kerana Permatang Pauh tidak mungkin saya bertemu dengan ‘Dia’ ini.

14 ulasan:

fads berkata...

lokasi gulai itik masih menjadi misteri....warga PP jalankan tanggungjawab anda undi DSAI

Tanpa Nama berkata...

cerita macam ni yg buatkan aku ketagih nak baca tulisan kau ni isham.Aku dh selamat sampai di kuantan untuk kembali bertugas.Seronok bertukar maklumat dgn kau di permatang pauh.sampai jumpa lagi

Tanpa Nama berkata...

Semenjak sdr buka blog ini (sepatutnya sdr telah lakukan ini lama dulu ;))...saya adalah di antara pengunjung tetap saban hari. Lenggok bahasa anda sungguh mencuit hati dan penuh sindiran/pengajaran yg bermakna. Sekurang-kurangnya jika rindu dgn tulisan/pandangan sdr.Hishamuddin Rais ini adalah gelanggang yg tepat utk mengubatinya...syabas dan teruskan memainkan mata pena mu...sdr!!!

ps- mungkin aku juga tergolong drp mereka yg belot...spt rakan anda ini...yg kini menjadi penyokong setia PR. Merdekakan Malaysia, Merdekakan Ekonomi, Minda, Bangsa dan Negara ku Cinta dari KECAMAN dan KERAKUSAN mereka!!!.

VIVA DSAI

Tanpa Nama berkata...

aku dah lama belot.. iaitu sebelum menjejak kaki ke bau-bau cafe lagi

Money4Free berkata...

Nostalgia, adalah satu satunya perkara yang paling indah bila dikenang.

Apatah lagi jika nostalgia itu dapat dikembalikan bersama sama insan yang sama sama ada didalam nostagia itu.

Aku bertemu kembali dengan sahabat karib yang amat lama terpisah didalam lokap polis Brickfield masa reformasi yang pertama dahulu.Kesedihan dan ketakutan kena tangkap, hilang begitu sahaja.

kaparinye berkata...

salam. saya kerap ke sini. tapi kali pertama meninggalkan komen. saya sedih, saudara menggunakan internet di kafe siber ke?

setidak2nya anda harus memiliki laptop dan usb broadband modem sendiri kerana kami ternanti-nantikan cerita terkini dari saudara di permatang pauh.

kalau saya kaya, saya sudah sponsor anda. tapi malangnya saya tidak.

ada sesiapa yang sudi?

:)

bluskyes berkata...

I absolutely love your posts!! please keep them up, it's really nice to get such a personal 'feel' of Malaysia... makes me nostalgic for the Kota Baru I grew up in...and nostalgic for the Malaysia I know and love!!

Tanpa Nama berkata...

apa kata saudara mintak amno atau KJ sponsor laptop buat sedara.... boleh la post sambil makan gulai itik.... just love your post..

btw jap lagi i akan bertolak untuk menjadi sebahagian dari pelancung politik kat sana.... hope to bum into you there...

p/s - anyone sudi menumpangkan kita???

Tanpa Nama berkata...

bestla cerita isham ni.. :)

Tanpa Nama berkata...

kucing-kucingnya tak mandi setahun, tuannya dah berapa lama tak mandi?

Samuel Goh Kim Eng berkata...

It's not just a Penang holiday but a 'Decision Day'
For all eligible voters to have their say
Who will be there in this pivotal seat stay
But make sure no legitimate voting papers go astray

(C) Samuel Goh Kim Eng - 240808
http://MotivationInMotion.blogspot.com
Sun. 24th Aug. 2008.

Tanpa Nama berkata...

hahahhaa ... gulai itik memang takder la kat PP .. kalau nak macam-macam gulai, sila ke Wakaf Bharu Kelantan, gulai itik, serati, ayam belanda semua ada... cuma 15 baht kata orang siam dengan nasi berlauk. BTW, Kolej ke-4 UM bukan ada awek yang ranum tetapi kalau nak awek yang cun kena pegi kat APM atau Fakulti FSSS atau econs.. saya budak First College, penuh dengan Geng Hindraf sebab pengetua kolej M Ramay*h.

Kolej KeLima memang Lubuk,
Kolej Ke Empat kaki Temberang,
Orang Permatang Pauh Janganla Takut,
Undi PKR, kita semua menang.

shahrizalisme berkata...

Saya dulu tahun pertama di UM (1998)tinggal di Kolej 8. Tahun kedua (1999)keluar kolej dan mencari kebebasan tinggal bersama kawan2 di Flat Bukit Angkasa. Tahun itu saya sering berulang alik ke kolej 4 bertemu kekasih hati. 2004 kami berkahwin dan menerima Puteri tahun 2006. Oh sungguh cepat masa berlalu dan nostalgia dulu2 kembali berputar lepas baca ceritamu Isham...

Tanpa Nama berkata...

gulai itik tu kat jalan permatang pauh dekat sekolah permatang tok kandu..ingat2 lupa lak..seberang jalannya ada kubur..